Takiyuddin Hassan.

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) memandang serius kegagalan kerajaan untuk memuktamadkan keputusan berhubung pelanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya telah diputuskan lebih awal sebelum tarikh persaraan wajib mereka tidak lama lagi.

Menurut Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Takiyuddin Hassan, ia, selaras dengan kelaziman amalan kehakiman yang sedia ada.

“Kebiasaan dalam sistem kehakiman kita menunjukkan bahawa pelanjutan perkhidmatan bagi hakim-hakim tertinggi yang menghampiri umur persaraan wajar dipertimbang dan dimuktamadkan segera selaras dengan peruntukan nyata dalam Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan, kestabilan dan keyakinan terhadap institusi kehakiman.

“Selain menjadi amalan yang diterima pakai sekian lama, tidak keterlaluan jika dikatakan menjadi hak bagi Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim-Hakim Besar dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan diberi pertimbangan munasabah pelanjutan perjawatan mereka demi kebaikan perkhidmatan, sama seperti yang pernah dilakukan terhadap hampir semua hakim-hakim tertinggi sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Namun mendukacitakan hingga kini, menrut Takiyudin, tiada sebarang pengumuman atau penjelasan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pihak berkuasa berhubung perkara ini.

“Ini menimbulkan persoalan serta kebimbangan tentang ketelusan, niat sebenar kerajaan dan potensi gangguan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.

“Situasi ini menjadi lebih membimbangkan sekiranya keputusan ini ada kaitan dengan kemelut yang dikatakan wujud dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) berhubung calon-calon bagi jawatan-jawatan tertinggi badan kehakiman.

“Jika benar perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa antara cabang eksekutif dan kehakiman,” katanya.

Justeru PN menggesa Perdana Menteri tampil memberikan penjelasan terbuka berhubung perkara ini secara adil, telus dengan berpandukan Perlembagaan serta amalan kehakiman yang mapan.

Menurutnya, badan kehakiman tidak boleh dibiarkan dijadikan medan permainan politik atau kepentingan sempit mana-mana pihak. Maruah dan kebebasan institusi ini mesti dipertahankan tanpa kompromi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast