KUALA LUMPUR – Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) menyifatkan 14 inisiatif yang diumumkan Kerajaan Negeri Johor sebagai langkah menyeluruh dan berimpak tinggi dalam memperkasakan warga FELDA khususnya di negeri itu.
Presidennya, Ahmad Faizal Sulaiman berkata, pendekatan kerajaan negeri membuktikan keprihatinan terhadap pelbagai isu yang membelenggu warga FELDA sejak sekian lama terutama berkaitan isu tanah, perumahan dan pembangunan generasi muda.

“MBFM amat menghargai langkah Johor yang memberi sumbangan langsung kepada belia FELDA termasuk peruntukan RM355,000 kepada MBFM Rancangan (RM5,000 untuk setiap 71 rancangan FELDA di Johor), serta sumbangan tambahan RM10,000 kepada MBFM Wilayah Johor Bahru dan Segamat.
“Selain itu, kuota pinjaman pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), peruntukan pembangunan lot perumahan generasi FELDA dan penyelesaian isu geran hak milik turut mendapat perhatian khusus,” katanya menerusi kenyataan hari.
Menurut Ahmad Faizal, MBFM turut menyambut baik komitmen kerajaan negeri menyelesaikan empat isu strategik termasuk penyelesaian bag projek terbengkalai PGBF di FELDA Pasak dan FELDA Aping Timur.
“Ini membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam pastikan kebajikan dan hak peneroka serta keluarga mereka tidak diabaikan.
“Termasuklah juga peruntukan tahun 2026 bagi meneruskan pembangunan infrastruktur asas Lot Perumahan Generasi FELDA, hasil kerjasama strategik antara FELDA dan kerajaan negeri. Ini memberi harapan baharu kepada generasi kedua dan ketiga FELDA untuk memiliki kediaman sendiri.
“Jaminan untuk menyelesaikan baki permohonan Geran Hak Milik Tanah peneroka FELDA Johor dalam tempoh dua bulan yang secara langsung menyelesaikan isu hak milik yang telah berlarutan bertahun-tahun dan komitmen menyelesaikan permohonan Lot Perumahan Generasi FELDA di seluruh Johor secara berperingkat yang memberi peluang kepada generasi muda untuk menetap, membina kehidupan dan menyumbang kembali kepada komuniti mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha berkenaan menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Johor bukan sahaja mendengar suara rakyat FELDA, malah bertindak secara langsung dengan penyelesaian konkrit.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya kerajaan negeri lain mencontohi inisiatif progresif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Johor, khususnya negeri-negeri yang memiliki penempatan FELDA seperti Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Sebagai rekod, Kerajaan Johor semalam mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk 14 inisiatif khusus untuk manfaat warga FELDA di negeri itu.
Menteri Besar negeri itu, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia melibatkan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), MBFM dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).- MalaysiaGazette
















