KUALA LUMPUR – Polis Terengganu membuka 25 kertas siasatan berkaitan penipuan cabutan bertuah yang kononnya dianjurkan sebuah bank tempatan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, jumlah kerugian dalam kes tersebut yang direkodkan dari Januari hingga bulan ini, berjumlah RM782,616.35.
Beliau berkata, mangsa biasanya akan menerima pautan muat turun fail APK melalui media sosial, yang jika diklik akan membawa kepada laman web palsu atau terus kepada fail APK.
“Tindakan ini akan membolehkan suspek mendapat kawalan penuh terhadap peranti mangsa seterusnya membaca mesej TAC/OTP yang dihantar oleh bank dan mengakses aplikasi perbankan atau e-dompet.
“Suspek akan melakukan transaksi secara berkali-kali tanpa pengetahuan mangsa, menyebabkan kerugian sehingga puluhan ribu ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak bank dan Bank Negara Malaysia bagi mengesan transaksi serta pemilik akaun keldai atau ‘mule account’.
Sehubungan itu Mohd Khairi menasihatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan sebarang bentuk tawaran yang mencurigakan di laman sosial.
“Pengguna perlu membuat semakan dengan pihak bank terlebih dahulu melalui saluran rasmi jika menerima sebarang pautan meragukan.
“Jangan sesekali berkongsi maklumat OTP kepada mana-mana pihak dan laporkan segera kepada Scam Response Center (CCID) di talian 997 atau melalui portal https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya. – Bernama















SkMM guna la kuasa block iklan Al Awfar Bank Islam kat FB tu. Mcm tak reti ja. Aku selalu report iklan tu scam tp FB makin banyak hantar iklan tu kat FB aku. Last2 aku naik leceh nk klik report