KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa mengambil secara positif pandangan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin terhadap parti itu.
Menurutnya, ia satu perkembangan baik, meskipun pandangan Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan itu turut menyebabkan ramai ahli Pas terguris.
“Terkini, banyak reaksi timbul dari pandangan atau persepsi KJ tentang Pas. Tidak kurang yang terguris hati.
“Saya mengambilnya secara positif. Ia satu perkembangan baik. Setidak-tidaknya KJ cuba mengenali Pas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Annuar mengulas mengenai pandangan Khairy terhadap Pas menerusi saluran audio siar (podcast) ‘Keluar Sekejap’ yang antara lain didakwa menyebut Pas ‘mendidik ahlinya bermula daripada tadika sehingga rendah, menengah, kampus, dan sampai akhirat’.
Dalam masa sama, Khairy didakwa menyuarakan kegusaran bahawa pendekatan sedemikian akan melahirkan ketaksuban (fanatisme) yang berlebihan.
Sementara itu, Annuar berkata, Pas sejak kebelakangan ini mendapat testimoni (penilaian) yang lebih positif daripada mereka yang sebelum ini lantang mengkritik dan menentang parti tersebut.
Antaranya, kata beliau, oleh bekas-bekas pemimpin UMNO seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Zaid Ibrahim serta bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Malah, dakwanya, anak-anak muda Cina dan India juga telah bercakap lebih positif mengenai Pas yang mana perkara itu turut tular di media sosial.
Dalam masa sama, tambahnya, Pas sendiri turut Pas sendiri terus merekayasa diri, menambah baik pendekatan tanpa mengorbankan pendirian yang istiqamah dalam menegakkan Islam.
“Pas tidak bersifat “in denial“. Itu satu kekuatan.
“Jika ada sedikit tersasar dari pandangan KJ, itu lumrah. Ini kerana latar belakang KJ dan kurangnya peluang KJ melihat Pas secara bebas dari prasangka dan persepsi.
“Ramai pemimpin yang masih menggunakan kaca mata musuh politik Pas termasuk saya sendiri satu ketika dulu, membuat rumusan yang tidak tepat mengenai Pas,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, beliau hari ini turut menemukan jawapan mengapa UMNO semakin lemah dan semakin kuat dan akan terus kuat.
“Saya percaya satu hari nanti dengan izin Allah KJ dan ramai lagi kawan kawan yang lain akan berpeluang mengenali PAS secara lebih dekat dan tuntas dengan kacamata yg lebih baru…Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette
















