Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan umat Islam tanah kubur bukan tempat mencari keberkatan mahupun populariti.

Sebaliknya, umat Islam digalakkan untuk menziarahi kubur sebagai peringatan terhadap kematian, menambah keinsafan, dan mendoakan kesejahteraan roh si mati, bukan untuk tujuan-tujuan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.

Beliau yang mengikuti laporan berita mengenai tindakan segelintir pihak yang didakwa mengambil tanah dari pusara Almarhumah Nurly Shahirah Azman untuk tujuan kononnya mendapat “berkat” menyifatkan perbuatan sedemikian amat mendukacitakan dan bertentangan dengan prinsip akidah Islam yang murni.

“Islam mengajar umatnya agar menjaga adab terhadap orang yang telah meninggal dunia serta menghormati kawasan perkuburan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar berhati-hati dalam setiap amalan dan tidak terikut-ikut dengan perbuatan yang tiada asas dalam syariat.

Tegasnya, tindakan mengambil tanah kubur dan menyapunya ke wajah, jika disertai dengan keyakinan bahawa ia membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjurus kepada perbuatan menyanggahi batas-batas syariat.

“Saya menyokong tindakan keluarga Almarhumah yang tegas namun berhemah dalam menangani isu ini, serta usaha pihak berkuasa agama yang memantau kawasan perkuburan. Ini selari dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam membanteras amalan khurafat dan memperkukuh akidah umat Islam di negara ini.

“Akhirnya, marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah Nurly Shahirah dan memberikan ketabahan kepada keluarganya. Kepada yang terlibat, kembalilah kepada ajaran Islam yang benar – mohonlah ampun kepada Allah dan hentikan perbuatan yang sia-sia serta merosakkan akidah ini.

“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling benar, bukan yang paling popular,” nasihat beliau.

Media melaporkan kubur pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan bas persiaran di Gerik, Perak itu terpaksa dipasang tali penghadang.

Langkah itu dibuat susulan tindakan segelintir orang ramai yang melakukan perkara yang bertentangan agama termasuk mengambil tanah kubur ketika datang menziarah.

Rumah keluarga dan kubur pelajar itu dikatakan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai untuk menziarahi keluarga Allahyarham dan melihat al-Quran yang ditulis oleh Nurly Shahirah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast