KUALA SELANGOR – Penubuhan sebuah pusat kesihatan ‘Maha Klinik’ tiada sebarang kaitan peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed.
Beliau menafikan pernah ‘paten’kan nama Maha Klinik yang merupakan klinik Melayu swasta pertama di Kedah miliknya pada 1957 sebagai tanda dagangan.
“Sebenarnya sudah ada banyak tempat yang menggunakan nama Maha Klinik ini dan saya pun tak tahu mereka menggunakan nama itu.
“Namun, ingin saya jelaskan bahawa saya tidak ada kepentingan apa-apa dalam pusat kesihatan ini. Saya bukan pelabur, bukan pemegang saham dalam pusat (kesihatan) ini.
“Tetapi saya bersetuju (klinik ini menggunakan nama itu) sebagai pusat khidmat masyarakat kerana masyarakat kita serba kekurangan dan memerlukan bantuan pihak tertentu, “katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MAHA Klinik, dekat sini, hari ini.
Berkas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berharap kewujudan klinik itu dapat mengisi kekosongan dalam aspek kesihatan yang sememangnya tidak mampu dipenuhi pihak kerajaan.
Tambah Mahathir, walaupun nama Maha Klinik menyerupai nama kliniknya, namun ia bukanlah bertujuan untuk mencari keuntungan, sebaliknya merupakan satu inisiatif sosial.
“Saya yakin tujuan khidmat ini bukanlah untuk mencari keuntungan yang besar tetapi untuk memberi khidmat khususnya kepada rakyat yang memerlukan kerana ia adalah satu keperluan masyarakat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta berganding bahu menyediakan perkhidmatan seumpama itu di kawasan yang kurang mendapat akses kepada khidmat kesihatan.
“InshaAllah, dengan adanya khidmat seperti ini, masyarakat akan menjadi lebih baik dan mendapat rawatan yang diperlukan engan cepat serta mudah,” katanya.
Klinik Maha merupakan klinik Melayu swasta pertama di Kedah, ditubuhkan oleh Mahathir pada 1957 dan telah berpindah ke pusat bandar kira-kira setahun sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat. – MalaysiGazette
















