UMT anjur Seminar dan Townhall Geobencana Pantai: Adaptasi dan Mitigasi Terhadap Impak Hakisan Pantai dan Perubahan Iklim

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam menangani isu geobencana pantai melalui penganjuran Seminar dan Townhall Geobencana Pantai: Adaptasi dan Mitigasi Terhadap Impak Hakisan Pantai dan Perubahan Iklim, hari ini.

Seminar yang mendapat kerjasama strategik bersama PLANMalaysia itu memberi fokus terhadap usaha menangani masalah hakisan pantai yang semakin membimbangkan terutama di kawasan Pantai Timur.

Faktor geografi yang bersifat terbuka kepada tiupan angin monsun dan ombak kuat menjadikan kawasan pesisir negeri ini sangat terdedah kepada impak hakisan dan perubahan iklim.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa UMT telah lama memainkan peranan sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang sains marin, perikanan, pengurusan pesisir dan perubahan iklim.

“Dengan kedudukan strategik UMT di persisiran pantai, kami bukan sahaja menjadi saksi kepada kesan hakisan, malah menjadikan isu ini medan utama penyelidikan serta inovasi penyelesaian. Kami melaksanakan kajian meliputi pemetaan risiko hakisan, penggunaan teknologi mitigasi seperti living shoreline serta penerapan adaptasi komuniti terhadap perubahan iklim” ujar beliau.

Antara pendekatan strategik yang diketengahkan UMT termasuklah Perancangan Ruang Laut (MSP) yang berasaskan sains bagi menyeimbangkan antara perlindungan alam sekitar marin, pembangunan ekonomi biru dan kesejahteraan sosial.

Pendekatan itu dianggap pelengkap kepada perancangan fizikal darat dan sangat penting dalam konteks pembangunan mampan negara maritim seperti Malaysia.

Fenomena hakisan pantai bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi kesan langsung kepada komuniti nelayan tradisional yang kehilangan kawasan pendaratan bot, tempat tinggal dan sumber pendapatan akibat perubahan garis pantai yang semakin mengecil. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast