Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat

PUTRAJAYA – ‘Menjadi Ketua Hakim Negara bukanlah impian saya, namun ia adalah satu penghormatan besar,” kata Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang telah menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Hakim Negara hari ini setelah berkhidmat selama enam tahun.

Dalam temu bual terakhirnya sebagai ketua institusi kehakiman tertinggi negara, Tengku Maimun berkata, beliau tidak mempunyai sebarang penyesalan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sebaliknya, menganggap jawatan yang disandangnya itu satu amanah penuh keberkatan.

“Alhamdulillah, saya rasa Allah telah mempermudahkan segala urusan saya sepanjang tempoh ini.

“Tiada penyesalan langsung. Saya anggap ini satu rahmat dan saya sangat bersyukur dapat menjalani tempoh perkhidmatan ini dalam keadaan sihat,” katanya ketika ditemui media di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Tengku Maimun merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selepas dilantik  pada 2 Mei 2019.

Ketika ditanya mengenai keputusan-keputusan penghakiman yang dianggap paling penting, beliau berkata: “Bagi saya penghakiman yang menarik banyak perhatian umum atau kritikan awam, itulah yang saya anggap penting,” ujarnya.

Namun begitu, beliau enggan mengangkat diri sendiri atas pencapaiannya sepanjang berada di tampuk kepimpinan kehakiman negara.

“Saya rasa tidak adil untuk saya memuji diri sendiri,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya sama ada beliau berasa sedih kerana tempoh perkhidmatannya tidak disambung, Tengku Maimun dengan tenang menjawab, tidak.

“Tidak. Saya tidak pernah mengimpikan untuk menjadi Ketua Hakim Negara, jadi apabila saya berada dalam posisi ini selama enam tahun dan telah melengkapkan tugas saya, itu sudah cukup bagi saya.

“Enam bulan tambahan tidak membawa perbezaan besar berbanding enam tahun perkhidmatan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast