Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Perhimpunan Bulan Julai di Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekali lagi bakal menjadi tuan rumah untuk dua persidangan serantau yang dijadualkan berlangsung pada  Oktober ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua forum berprestij itu adalah ASEAN Multi-stakeholder Dialogue on the ASEAN Master Plan on Rural Development dan Asean+3 Forum on Women and Digitalization.

“Saya harap kadikan platform ini medan untuk kita mengetengahkan amalan terbaik kita dan membawa agenda pembangunan desa Malaysia sebagai aspirasi serantau. Malaysia menjadi contoh untuk seluruh negara Asean, ini yang kita mahukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Julai di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, KKDW juga bakal menganjuran Karnival Mega 3 Dimensi menghimpunkan tiga acara besar secara serentak iaitu Karnival Usahawan Desa, Hari Peneroka FELDA dan Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

“Ini adalah satu lagi anjakan besar, satu usaha strategik untuk mengangkat usahawan desa dan memperkukuh ekosistem keusahawanan luar bandar ke peringkat nasional dan global.

“Saya mahu semua sektor yang terlibat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha ini. Bukan sekadar menjayakan program tetapi mengangkatnya menjadi satu gelombang baharu yang memperkukuh program flagship Kementerian,” jelasnya.

Terdahulu, kementerian itu berjaya menganjurkan ASEAN TVET Council 4th Regional Policy Dialogue di Melaka, yang menekankan peranan TVET sebagai pemangkin transformasi sosio-ekonomi luar bandar ASEAN.

Pencapaian tersebut sekaligus memberi mandat kepada  Malaysia untuk menerajui penyelarasan akreditasi industri TVET di seluruh rantau ini.

Ahmad Zahid juga menzahirkan terima kasih dan berpuas hati dengan kerjasama semua pihak selama 940 hari beliau bersama KKDW.

“Semoga 940 hari yang mendatang, kementerian ini bukan sahaja memperolehi pengiktirafan daripada kerajaan, saya mahu pemegang taruh kita dan rakyat membalas jasa KKDW.

“Dalam bentuk sokongan peti-peti undi tanpa perlu menguar-uarkan apa yang kita lakukan, mereka sendiri berterima kasih dan merasa serta menyokong kerajaan yang telah membawa perubahan demi kepentingan rakyat melalui KKDW dan kementerian lain insyallah,” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast