Kali terakhir Krisdayanti menghiburkan peminat di Malaysia menerusi Konsert Romansa Krisdayanti pada 2017

KUALA LUMPUR – Janji ditepati, begitulah malam penuh magis bersama Kris Dayanti yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, baru-baru ini.

Diva tersohor Indonesia itu menghidupkan kembali kenangan indah dalam Konsert Cinta Nostalgia yang menyaksikan persembahan luar biasa sekaligus memberi kepuasan kepada 2,300 penonton.

Krisdayanti mesra dengan panggilan KD jelas mendedikasikan  rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di negara ini khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.

Apatah lagi kali terakhir penyanyi empat anak itu menghiburkan peminat menerusi Konsert Romansa Krisdayanti pada 2017 yang membuatkan persembahan kali ini segalanya lebih bermakna serta sukar dilupakan.

Malah dibantu dengan susunan muzik orkestra eksklusif diketuai maestro Erwin Gutawa, segala-galanya bersatu dengan visual pentas dan pancaran cahaya dramatik.

Bukan sahaja lontaran vokal yang masih lunak dan bertenaga, KD turut anggun dan mempesonakan apabila memperagakan busana Rizman Ruzaini yang berbeza.

Menepati janji untuk memberi kepuasan kepada penonton, konsert itu diisi hampir 20 lagu popular Krisdayanti sepanjang tiga dekad perjalanannya bergelar anak seni.

Antaranya lagu Mahadaya Cinta disusuli lagu hit seperti Cinta, Yang Kumau, Cobalah Untuk Setia, I’m Sorry Goodbye, Pilihlah Aku dan Menghitung Hari iaitu lagu ‘berhantu’ yang cukup sinonim dengan namanya.

Konsert Cinta Nostalgia mendapat sentuhan susunan muzik orkestra eksklusif diketuai maestro Erwin Gutawa.

Selain itu, malam indah itu meninggalkan momen yang mencuit hati adalah apabila Krisdayanti spontan mengajak Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyi bersamanya.

Menjadi sahabat baik lebih 20 tahun terjalin antara Krisdayanti dan Siti menggamit nostalgia apabila menyanyikan lagu Jika Kau Tak Datang bersama Mimifly dari album ikonik CTKD (CTKD: Canda, Tangis, Ketawa, Duka).

Sebelum itu, dua diva kesayangan ramai itu juga sempat menyanyikan lagu Cindai dan Sinaran dengan diiringi tepukan serta sorakan gemuruh daripada peminat.

Apa yang pasti, durasi dua jam setengah tidak terasa apabila penonton seolah-olah terbuai dalam alunan emosi dan membuai perasaan apabila Krisdayanti menepati janji untuk memberikan persembahan luar biasa dan istimewa kepada para peminatnya.

Konsert anjuran JBProduction ini bukan sekadar hiburan biasa,  sebaliknya cetusan rasa dan ilham Krisdayanti sepanjang berjuang dalam dunia seni.

Sementara itu, menambahkan kehangatan malam itu, Mimifly turut membuat kemunculan khas pembukaan dengan menyampaikan lagu Angkat.

Khai Bahar turut meminjamkan suaranya dalam duet istimewa bersama Krisdayanti menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai. – MalaysiaGazette

Kerjaya seni Krisdayanti bermula sebagai bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast