KUALA LUMPUR – Tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ke-10 bagi tempoh tiga tahun, berkuatkuasa hari ini hingga 30 Jun 2028.
Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang tamat tempoh pelantikan semalam.
Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataan berkata, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan UIAM.
“Pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Hussain adalah berdasarkan kepada ketokohan dan kewibawaan beliau dalam sektor korporat negara terutama dalam bidang kewangan Islam.
“Beliau merupakan pengasas kepada Kumpulan Perbankan Rashid Hussain Berhad (RHB) dan kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji sejak tahun 2023.
“Beliau juga bukanlah orang baharu dalam bidang pendidikan tinggi apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Gabenor UIAM pada tahun 2018 hingga kini dan turut menyandang jawatan Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka mulai tahun 2024,” katanya.
Tambah KPT, ia yakin pelantikan Abdul Rashid akan memperkukuh lagi peranan UIAM sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang berteraskan nilai-nilai Islam, sekali gus meningkatkan keterlihatan dan daya saingnya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. -MalaysiaGazette
















