KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohd Nasir Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) yang baharu berkuatkuasa 1 Ogos ini.
Beliau akan menggantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Prasarana pada 30 April 2025.
Prasarana dalam kenyataannya hari ini berkata, Mohd Nasir sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sehingga bersara pada 1 Jun 2011.

Beliau juga pernah memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Kumpulan CIMB Holdings Berhad sejak 2018.
Dalam kenyataan yang sama, Prasaran turut mengumumkan pelantikan Amir Hamdan sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa 15 Julai ini.
Beliau akan menggantikan Mohd Azharuddin Mat Sah, yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya bersama Prasarana pada 14 Julai 2025.
“Pelantikan Amir sebagai Pemangku PGCEO sejajar dengan komitmen Prasarana untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan operasi syarikat dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing,” kata kenyataan itu.

Sebelum pelantikan ini, Amir memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) Prasarana dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kecekapan operasi serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Kumpulan.
Beliau menyertai Prasarana pada tahun 2019 sebagai Timbalan Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd pada tahun 2022.
Sepanjang menerajui Rapid Rail, beliau telah berjaya memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi serta kebolehpercayaan perkhidmatan rel.
Amir merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari Lincoln University of New Zealand dan Sarjana dalam Amalan Kewangan Islam dari INCEIF University, serta ahli bertauliah Association of Chartered Certified Accountants (ACCA). -MalaysiaGazette
















