Seorang wanita, dua kanak-kanak cedera, dua kereta bertembung.

BAGAN SERAI – Seorang wanita dan dua kanak-kanak cedera selepas dua kenderaan dipercayai bertembung dalam kejadian di Jalan Bagan Serai di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.57 pagi.

Menurutnya, sepasukan lima anggota darpada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Ketika tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Almera dipandu seorang wanita berusia 40 tahun bersama tiga kanak-kanak perempuan berusia antara dua hingga 12 tahun dengan kereta jenis Proton Persona dipandu seorang lelaki.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu kereta Nissan Almera serta kanak-kanak perempuan berusia dua tahun cedera ringan manakala seorang lagi kanak-kanak berusia 12 tahun turut mengalami kecederaan di kepala dan kaki.

“Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang menaiki kereta Nissan Almera serta pemandu kereta Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan dengan membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang berada di dalam kereta.

“Mangsa yang cedera turut diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital Parit Buntar untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, operasi terkawal pada pukul 7.15 pagi dan tamat sepenuhnya pukul 7.40 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast