Antara rumah dan kenderaan sekitar Kampung Tengah yang terbakar teruk ekoran bahang kebakaran besar saluran paip gas di Putra Heights, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 1 APRIL 2025

Saudara pengarang,

Saya menonton pengumuman hasil siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights yang amat dinanti-nantikan, semalam. Saya gunakan perkataan “pengumuman” kerana itulah hakikatnya – satu penyampaian formal tanpa sebarang usaha untuk benar-benar menjelaskan kepada orang ramai apa sebenarnya yang berlaku. Bagi kami yang menonton dengan harapan mendapat penjelasan dan penutup, yang kami terima hanyalah ceramah teknikal yang hambar, dipenuhi istilah sukar dan jauh daripada realiti rakyat.

Jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tampil membaca kenyataan seperti membaca manual jaminan produk — penuh jargon kejuruteraan tanpa satu pun penjelasan dalam bahasa mudah. Tiada usaha untuk memudahkan pemahaman rakyat biasa. Taklimat ini bukan satu bentuk penjelasan telus — ia lebih menyerupai sesi “damage control” berjenama sidang media.

Dari segi isi pula, lebih mengecewakan. Laporan menyatakan kegagalan paip gas berpunca daripada “pergerakan tanah” dan “keadaan tanah lembut”. Ini bukanlah pendedahan baharu — hanya sekadar menyebut yang sudah jelas tanpa menjawab soalan pokok: Apa punca tanah itu menjadi lemah? Adakah akibat hujan? Paip air bocor? Pembangunan perumahan atau kedai bersebelahan? Atau gangguan lain? Malangnya, soalan seperti ini langsung tidak dijawab dengan lengkap, seolah-olah dielak secara sengaja.

Inilah punca sebenar kekecewaan rakyat. Bukan kerana kami tak boleh menerima hakikat tanah boleh bergerak — rakyat Malaysia memang faham risiko tanah — tetapi kerana tiadanya penjelasan jujur dan berani tentang kenapa tanah itu berubah. Apakah faktor penyumbang? Siapa yang mungkin bertanggungjawab?

Meletakkan seluruh kesalahan kepada tanah, seolah-olah tanah itu bertindak sendiri dan menyebabkan letupan, adalah sesuatu yang mempersendakan akal. Rakyat layak tahu jika ada pembangunan, pembinaan longkang, kerja pengorekan, atau sebarang aktiviti berhampiran yang mengganggu kestabilan tanah. Lagipun, laluan paip ini telah berada di situ selama lebih 30 tahun tanpa masalah besar — apa yang berubah sejak kebelakangan ini?

Kita tidak boleh terus tutup mata terhadap isu pembangunan yang terlalu hampir dengan infrastruktur kritikal. Jika tanah diganggu, sistem saliran diubah, atau beban dibina terlalu dekat, kestabilan tanah pasti terjejas. Ini adalah pemikiran secara logik dan terbukti membawa implikasi yang sangat besar.

Perkara ini mengingatkan saya kepada tragedi Highland Towers tahun 1993. Ketika itu juga, alasan awal yang diberi ialah “pergerakan tanah” dan “ketidakstabilan cerun”. Tetapi akhirnya, siasatan membuktikan bahawa punca sebenar adalah kerja pembangunan di kawasan bukit yang menyebabkan aliran air berubah dan cerun menjadi lemah. Hasilnya: 48 nyawa melayang.

Walaupun insiden di Putra Heights tidak meragut nyawa, namun ada mangsa yang mengalami kecederaan yang amat teruk. Rumah musnah, penduduk trauma, dan komuniti terjejas teruk. Kita tidak boleh biarkan insiden ini berlalu dengan kesimpulan mudah dan selesa.

Jika kita benar-benar ikhlas mahu menjaga keselamatan rakyat, kita perlu lebih terbuka dalam menjawab persoalan: Apakah kesan pembangunan kepada keselamatan awam? Siapa yang beri kelulusan pembangunan berskala besar seperti projek perumahan dan rumah kedai yang amat berhampiran dengan kawasan paip gas? Adakah sebarang semakan dilakukan?

Jangan biarkan istilah teknikal menjadi alasan untuk menutup kebenaran. Rakyat bukan menuntut keajaiban — kami hanya mahu ketelusan, kebertanggungjawaban, dan jawapan yang menghormati hak kami untuk tahu.

Yang benar,
Warga Yang Prihatin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast