MELAKA – Tindakan seorang lelaki menampar pipi anak perempuannya berusia 4 tahun sehingga cedera kerana menggunakan perkataan bodoh tiga bulan lalu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Tertuduh Mohamad Hazmi Mansor, 34 bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun dengan cara menampar pipinya.
Difahamkan, ia berpunca selepas kanak-kanak itu berulang kali menggunakan perkataan ‘bodoh’ walaupun ditegur tertuduh yang sudah bercerai sejak empat tahun lalu membuatkan lelaki itu marah dan menampar mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di kedai tempat kerja tertuduh di Taman Cheng Utama, Melaka Tengah kira-kira pukul 2 petang, 7 April 2025.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan RM10,000.
Tertuduh yang diwakili peguam Amritpal Singh bagaimanapun merayu jaminan rendah memandangkan anak guamnya baru diberhentikan kerja selain menanggung tiga orang anak dan kedua orang tuanya.
Majistret Uthman kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Ogos ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette.
















