KUALA LUMPUR – Cadangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menaikkan waktu kerja mingguan kepada 45 jam boleh menjadi titik tolak kepada kehancuran sistem kesihatan awam negara jika dilaksanakan ketika ini.
Menurut Ahli Dewan Negara, Senator RA Lingeshwaran, beliau menyokong penuh kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berhubung krisis kekurangan jururawat namun menyifatkan langkah JPA itu sebagai tidak sensitif dan amat berisiko.
“Sejak 2020, lebih 6,900 petugas kesihatan termasuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar telah meletakkan jawatan.
“Angka ini menggambarkan tekanan luar biasa yang mereka tanggung. Jika beban kerja terus ditambah, ramai lagi akan angkat kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Lingeshwaran yang juga mantan Pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang, beliau telah berhubung dengan pelbagai persatuan jururawat dan kesatuan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kebelakangan ini.
Katanya majoriti menyuarakan kebimbangan mereka tidak mampu bertahan sekiranya tiada penyelesaian menyeluruh terhadap isu kebajikan serta insentif perkhidmatan.
“Moral petugas kesihatan kini berada pada tahap paling rendah. Apa yang mereka perlukan bukanlah tambahan jam kerja, tetapi sokongan, pengiktirafan dan imbuhan setimpal atas pengorbanan mereka yang saban hari mempertaruhkan kesihatan dan nyawa demi rakyat,” ujarnya lagi.
Lingeshwaran memberi amaran keras bahawa JPA perlu bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya sistem kesihatan awam lumpuh akibat kehilangan lebih ramai tenaga kerja.
“Ini bukan soal pentadbiran semata-mata, ini soal nyawa dan kelangsungan sistem kesihatan negara,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















