Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu perhimpunan aman semalam bukan sahaja penegasan terhadap supremasi Perlembagaan, tetapi juga mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 telah lama dianggap sebagai satu bentuk sekatan tidak munasabah terhadap hak dan kebebasan berhimpun.

Tambahnya, dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, rakyat Malaysia kini pastinya lebih yakin bahawa pandangan mereka boleh disuarakan tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas.

“Pas juga percaya keputusan ini akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun sebagai sebahagian daripada ciri-ciri penting sebuah negara demokrasi yang matang dan bertamadun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), yang mengenakan denda terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel itu berkata, Seksyen 9(5) PAA adalah bercanggah dengan perlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10(2)(b) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan (kesamarataan di sisi undang-undang).

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas dengan tegas turut mendesak kerajaan mengambil langkah susulan untuck menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 secara menyeluruh supaya ia benar-benar mencerminkan semangat Perlembagaan dan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat, apatah lagi selaras dengan keputusan yang bersejarah semalam.

Selain itu, tambahnya, kerajaan juga perlu dengan serius menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948; Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan seumpamanya.

Perkara itu, ujar beliau, selaras dengan janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast