KUALA LUMPUR – Pas Selangor melahirkan rasa kecewa dengan dapatan pihak berkuasa berhubung tragedi letupan paip gas di Putra Heights dan menyifatkannya sebagai kurang holistik.
Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri berkata, dapatan itu hanya memberi tumpuan kepada punca langsung (direct cause) bencana tersebut, dan tidak memberi penumpuan kepada isu-isu “root cause” punca sebenar dan paling asas.

Menurut beliau, dapatan itu menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan selain menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati yang jelas terserlah daripada keluhan serta kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.
Sehubungan itu, tegasnya, Pas Selangor menuntut Kerajaan Negeri Selangor untuk bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman.
“PAS Selangor amat kesal kerana kegagalan Kerajaan Negeri Selangor dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, polis mengesahkan tiada sebarang unsur khianat dikesan dalam siasatan insiden letupan gas yang menggemparkan penduduk Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan kejadian disebabkan perbuatan sabotaj atau kelalaian jenayah oleh mana-mana pihak.
Sementara itu, Ab. Halim berkata, Pas Selangor memandang serius kebimbangan terhadap kemungkinan kejadian seumpama itu berulang jika tiada langkah pencegahan tuntas diambil.
Ujarnya, Pas Selangor akan terus memperjuangkan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta menuntut keadilan bagi semua yang terkesan.
Sehubungan itu, jelasnya, Pas Selangor mengusulkan satu Jawatankuasa Siasatan Diraja atau Jawatankuasa Bebas ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan yang lebih menyeluruh berhubung tragedi tersebut. – MalaysiaGazette
















