Persidangan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT Ke-44) KPF berjalan lancar dengan kehadian 1,207 perwakilan dari seluruh negara.

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM141,183 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 berbanding RM52,781 juta pada tahun sebelumnya.

Susulan pencapaian yang baik itu, KPF mengumumkan agihan dividen sebanyak 6.0%, melibatkan jumlah keseluruhan RM129 juta kepada 253,371 anggota di seluruh negara.

Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris membuat pengumuman itu dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) KPF Ke-44 yang berlangsung
di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, baru-baru ini dengan kehadiran 1,207 perwakilan dari seluruh negara.

Menurutnya, pembayaran dividen tahun ini mencerminkan komitmen lembaga kepada anggota melalui peningkatan hasil membolehkan agihan dividen
dapat dibuat sepenuhnya berdasarkan keuntungan bersih semasa.

Permohonan pengeluaran dividen dibuka mulai 30 Jun hingga 29 Julai 2025 melalui sistem e-Dividen atau secara manual.

Bayaran akan dikreditkan secara berperingkat ke akaun bank anggota bermula 10 Julai 2025, tertakluk kepada permohonan yang lengkap melalui pautan https://dividen.kpf.my/.

Dalam perkembangan lain, dalam mesyuarat itu KPF turut memaklumkan pelaksanaan pelan rasionalisasi aset pelaburan yang telah dirangka bagi memenuhi permintaan pengeluaran modal syer oleh anggota, di samping menjana pendapatan mampan jangka panjang melalui penjualan aset-aset perladangan dan aset hartanah yang tidak berpotensi serta penstrukturan aset pelaburan dalam syarikat bersekutu.

Katanya, pelan ini bukan sahaja dirangka untuk menyantuni obligasi pengeluaran modal syer anggota, malah menjadi strategi jangka panjang
bagi menyusun semula struktur aset KPF secara lebih mampan, efisien dan strategik.

“KPF yakin pendekatan ini mampu memperkukuh kedudukan kewangan KPF serta menjamin kelangsungan kesejahteraan anggota dalam jangka masa panjang.

“Rata-rata perwakilan yang hadir menzahirkan rasa syukur atas peningkatan kadar dividen tahun ini dan menyatakan keyakinan terhadap hala tuju pengurusan KPF dan berharap agar kecemerlangan prestasi ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi manfaat seluruh anggota,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast