Peserta Perhimpunan Aman Pertahan DYMM Agong dan Bantahan Terhadap Pemerintahan DAP dihalang oleh anggota polis selepas cuba berjalan menuju ke Bangunan Parlimen bertempat di hadapan Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Pas mendesak kerajaan menyemak semula Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA 2012) secara menyeluruh supaya ia dapat mencerminkan semangat Perlembagaan dan prinsip-prinsip hak asasi manusia.

Gesaan itu disuarakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) APA 2012 adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang secara langsung menjenayahkan kegagalan untuk memberi notis untuk suatu perhimpunan aman.

Selain itu Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam masa yang sama kerajaan juga perlu memansuhkan akta-akta yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta seumpamanya seperti yang pernah diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

“Perkara ini juga selaras dengan janji pilihan raya PH sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 mereka, iaitu “Menyemak semula dan memansuhkan peruntukan akta-akta zalim yang boleh disalahguna untuk menyekat kebebasan bersuara antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984”,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, keputusan tersebut akan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun sebagai sebahagian daripada ciri-ciri penting sebuah negara demokrasi yang matang dan bertamadun.

Dalam masa yang sama katanya, ia bukan sahaja satu penegasan terhadap supremasi perlembagaan malah merupakan satu mesej jelas bahawa hak asasi rakyat tidak boleh digugat oleh peruntukan undang-undang yang menindas atau berlebihan.

“Kini, dengan keputusan ini, pasti rakyat Malaysia lebih yakin bahawa pandangan mereka boleh disuarakan tanpa ancaman pendakwaan yang tidak berasas,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast