Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan memeriksa penumpang sebuah bas persiaran ketika Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar Bagi Bas Ekspres dan Bas Persiaran di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil Utara, Selangor. Foto SADIQ SANI, 02 JUN 2025

DENGKIL – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran kepada syarikat pengendali bas ekspres dan bas persiaran yang gagal memastikan tali pinggang keledar mereka berada dalam keadaan baik dan berfungsi sepenuhnya.

Pengarah JPJ Negeri Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan serta-merta akan dikenakan termasuk saman dan notis amaran sekiranya pemeriksaan mendapati kelengkapan keselamatan itu rosak atau tidak boleh digunakan.

“Jika kita dapati tali pinggang keledar rosak, kita akan arahkan syarikat bas membuat pembaikan dengan segera dan mengeluarkan notis amaran selain saman kepada pemilik syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Ops Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil arah utara, hari ini.

Menurutnya, semua bas yang dibina atau berada di atas jalan raya selepas Januari 2020 diwajibkan mempunyai tali pinggang keledar, dan tiada kompromi akan diberikan terhadap ketidakpatuhan.

“Kalau bas itu dibina selepas tahun 2020, tali pinggang keledar adalah wajib.

“Kalau tiada atau rosak, kita akan keluarkan notis PJ1 dan arahkan pembaikan dengan kadar segera,” tambahnya.

Setakat dua hari pelaksanaan operasi khas tersebut, sebanyak 56 bas ekspres dan 23 bas persiaran telah diperiksa di sekitar Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua kenderaan ini telah mematuhi arahan yang telah kita war-warkan dan tetapkan. Pematuhan dan kerjasama daripada pemandu dan penumpang adalah amat tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata, di lokasi pemeriksaan hari ini, pihaknya turut memeriksa lima bas secara rawak dan kesemua mereka didapati memakai tali pinggang keledar, selain dimaklumkan oleh pemandu untuk berbuat demikian sebelum perjalanan bermula.

“Pemandu memainkan peranan penting apabila mereka mengingatkan penumpang untuk memakai tali pinggang keledar sebelum bas bergerak.

“Kita juga dapati penumpang turut memberikan kerjasama yang baik,” ujarnya.

Azrin menegaskan bahawa operasi ini tidak akan terhenti di sini sahaja, sebaliknya JPJ akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

“Kami akan jalankan secara berterusan dan kita juga akan menggunakan kaedah penyamaran untuk memantau pematuhan sebenar dalam kenderaan semasa perjalanan,” katanya.

Pihaknya juga akan mengeluarkan saman kepada mana-mana penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar walaupun sudah diberi peringatan oleh pemandu.

“Penumpang yang enggan mematuhi arahan akan disaman, manakala bagi penumpang bawah 18 tahun, kita akan keluarkan notis peringatan sebagai pendekatan mendidik,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast