GEORGE TOWN – Seorang eksekutif broker saham kerugian lebih RM1.2 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan wakil syarikat kurier.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 47 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa mewakili Pos Laju Malaysia berhubung bungkusan mencurigakan atas namanya pada 20 Jun lalu.
Jelas beliau, suspek memaklumkan bungkusan itu kononnya mengandungi kad pengenalan, kad bank dan buku cek yang dikirim dari Kuching, Sarawak ke Terengganu sebelum panggilan tersebut disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis.
“Suspek kemudian memaklumkan akaun bank mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram sebelum meminta wanita itu memindahkan semua wang untuk tujuan audit.
“Suspek mendakwa wang itu akan dipulangkan selepas siasatan selesai dan mangsa turut diugut kononnya waran tangkap akan dikeluarkan sekiranya gagal berbuat demikian.
“Takut dengan ugutan tersebut, mangsa melakukan 26 transaksi secara dalam talian ke lima akaun bank berbeza dalam tempoh lima hari, bermula 26 hingga 30 Jun membabitkan jumlah keseluruhan RM1,240,100,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Alwi, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarga.
“Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette















