JASIN – Rakyat diminta tidak terpengaruh dengan tindakan pihak yang cuba mencetuskan sensitiviti agama mengenai pemasangan pentas di hadapan Surau Warisan Dunia berhampiran Bangunan Stadthuys sempena Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia (WTD), Sabtu ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan berbilang kaum, kerajaan amat prihatin dengan isu berkenaan.
“Saya harap umat Islam khususnya janganlah terpengaruh dengan segala tohmahan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
“Kita bukannya hendak adakah program WTD itu di dalam kawasan surau berkenaan yang akan ditutup sementara selama tiga bulan bermula 6 Jun hingga 10 Ogos ini untuk kerja-kerja baik pulih.
“Cuma kebetulan, kita hendak naik taraf surau berkenaan supaya lebih selesa dan lokasi tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh UNESCO itu paling sesuai untuk menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung sempena sambutan Pra-Pelancaran WTD, Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kebakaran Sempena Program Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Projek Perumahan Rakyat Tehel, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Rais berkata, rakyat perlu melihat secara positif usaha kerajaan negeri itu untuk merancakkan lagi ekonomi negeri sekali gus menunjukkan kepada dunia keindahan Melaka.
“Sama-samalah kita buka minda dengan hati yang ikhlas dan baik supaya aspek pelancongan dapat terus berkembang tetapi dalam masa sama kita menjaga sensitiviti.
“Kita juga mahu Surau Warisan Dunia ini dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik dan selesa selepas tular baru-baru ini mengenai kerosakan dan kebocoran bangunan di tapak UNESCO itu,” tambahnya.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar mencetuskan kontroversi mengenai pemasangan pentas di lokasi sambutan Pra-Pelancaran WTD di hadapan surau berkenaan yang kononnya tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Pada 5 Jun lalu kerajaan memaklumkan Surau Warisan Dunia akan ditutup sementara bermula 6 Jun hingga 10 Ogos ini bagi tujuan penyelenggaraan.
Bagaimanapun pelancong yang ingin menunaikan solat boleh ke empat lokasi surau alternatif telah disediakan berdekatan kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
















