PUTRAJAYA – Sebanyak 2,811 serahan kes melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan bersubsidi direkodkan antara tahun 2021 hingga 31 Mei 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 335 kes direkodkan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Pecahan serahan kes mengikut tahun adalah sebanyak 250 kes (2021), 615 kes (2022), 790 kes (2023), 822 kes (2024) dan 335 kes (2025).
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan daripada kes-kes ini RM199,958,733.95,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan bersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-53 di sini, hari ini.
Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan turut dianjurkan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen agensi penguat kuasa dalam membantu meningkatkan kecekapan operasi KPDN di lapangan.
Menurut beliau, Pasukan Gerakan Am (PGA) merekod jumlah serahan tertinggi iaitu 1,146 kes.
Diikuti Pasukan Polis Marin (PPM) sebanyak 866 kes, Polis Diraja Malaysia (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (69 kes).
“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan kerjasama rentas agensi dalam membanteras penyelewengan sekali gus memperkukuh perlindungan hak pengguna di seluruh negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















