KUALA LUMPUR – Dua ekspo terbesar anjuran Tastefully, iaitu Tastefully Health & Beauty Expo dan Malaysia Pastry Expo 2025, melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun 2025 di Mid Valley Exhibition Centre, di sini.
Ekspo yang menghimpunkan pelbagai jenama terkenal dalam industri kecantikan, kesihatan dan pastri itu berjaya menarik lebih 120,000 pengunjung, manakala jumlah jualan yang direkodkan melebihi RM5 juta, menjadikan acara ini antara yang paling berjaya dalam siri penganjuran Tastefully setakat ini.
Lebih menarik, sambutan luar biasa daripada pengunjung bukan sahaja membuktikan daya tarikan ekspo ini, malah turut mendapat reaksi positif daripada para vendor yang memuji tahap penganjuran, jumlah trafik pelanggan, serta pulangan yang memberangsangkan sepanjang ekspo berlangsung.
Menurut pihak penganjur, antara daya penarik utama ekspo ini adalah kepelbagaian aktiviti yang ditawarkan, termasuk bengkel kecantikan, demonstrasi pastri secara langsung, cabutan bertuah, serta sesi interaksi bersama pakar industri.
Konsep dua ekspo dalam satu ruang turut menjadikan acara ini sebagai destinasi tumpuan hujung minggu, khususnya dalam kalangan keluarga dan golongan muda.
Kejayaan luar biasa itu turut mendorong sebahagian besar vendor untuk mula menempah tapak lebih awal bagi ekspo akan datang, termasuk penganjuran tahun 2026, sekali gus membuktikan keyakinan tinggi terhadap platform perniagaan yang disediakan oleh Tastefully.
Pengasas Tastefully, Esther Fong, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengunjung, rakan strategik, penaja dan pihak media atas sokongan tidak berbelah bahagi terhadap acara ini.
“Tastefully akan terus komited dalam menyediakan platform perniagaan yang efektif, bermanfaat dan penuh inspirasi kepada pemain industri tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ekspo ini sekali lagi membuktikan bahawa penganjuran acara fizikal masih relevan dan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dalam sektor-sektor khusus seperti kecantikan, kesihatan dan kulinari tempatan. – MalaysiaGazette
















