KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Korea cedera selepas terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira lapan kaki berhampiran pintu masuk sebuah kondominium di Lorong B4, Taman BDC di Kuching, Sarawak, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati mangsa berusia dalam lingkungan 50- an berada dalam keadaan berdiri sambil menahan kesakitan di dalam parit,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, mangsa dipercayai mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pasukan penyelamat segera menjalankan penilaian awal bagi memastikan kawasan selamat untuk operasi menyelamat.
“Mangsa berjaya dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 8.38 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.46 malam.-MalaysiaGazette
















