Datuk Zulfikri Osman

JOHOR BAHRU – Bekas pegawai tentera dan polis disenarai pendek sebagai calon warden sepenuh masa untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terpilih nanti.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman berkata, proses pemilihan giat dijalankan dan sudah pun mengenal pasti beberapa calon yang layak.

“Sekarang (warden MRSM membabitkan kalangan anggota beruniform) sedang dalam proses buat pemilihan sebelum diletakkan di MRSM terpilih dalam masa terdekat.

“Kita akan mulakan projek perintis warden ini di beberapa MRSM terpilih dahulu, tahun ini juga.

“Butiran lanjut akan diumumkan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tidak lama lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Entrepreneurial Chill & Chat MARA di sini hari ini.

April lalu, MARA dilaporkan akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis bagi memperkukuh aspek disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.

Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan secara projek rintis membabitkan beberapa MRSM terpilih bagi menilai keberkesanan pendekatan berkenaan.

Cadangan itu dibangkitkan beliau dalam Mesyuarat Majlis Mara dan telah dipersetujui sebulat suara.

“Buat permulaan, projek rintis ini akan dilaksanakan di beberapa buah MRSM dan Mara akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan calon warden,” katanya April lalu.

Mengulas langkah MARA menghentikan penghantaran pelajar tajaannya ke Amerika Syarikat (AS) mulai tahun ini, Zulfikri berkata, agensi itu sedang mengenal pasti institusi pendidikan di beberapa negara bergantung kepada bidang pengajian mereka.

Katanya, antara negara yang sedang diteliti termasuk United Kingdom (UK), Australia, Jepun, New Zealand dan China.

“Sebahagian pelajar juga mungkin menyambung pengajian di pelbagai negara alternatif termasuk Malaysia.

“Kebanyakan pelajar akan mengikuti semula pengajian pada September atau awal tahun depan. Jadi mereka kena dapatkan tawaran baharu untuk diteliti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast