KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham menyifatkan gagasan ‘Payung Besar Melayu’ bukan satu bentuk diskriminasi atau retorik perkauman seperti didakwa dituduh segelintir pihak.
Sebaliknya adalah satu kerangka berasaskan sejarah, realiti semasa dan perlembagaan untuk menjamin kestabilan Malaysia secara menyeluruh.
“Payung besar Melayu ini bukan simbol perkauman tetapi peringatan kepada seluruh rakyat bahawa kestabilan Malaysia bergantung kepada kestabilan kumpulan majoriti.
”Ini bukan soal mendiskriminasi mana-mana kaum, tetapi soal memelihara kontrak sosial yang telah menjadi tiang seri negara sejak 1957,” katanya.
Beliau berkata demikian pada dalam program DialogMG bertajuk ‘Payung Besar Orang Melayu:Keperluan Bangsa atau Helah Politik’ anjuran MalaysiaGazette yang berlangsung di sini malam ini yang turut disertai Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Hasbie Muda.

Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, populasi orang Melayu dan bumiputera kini membentuk sekitar 70 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia.
Hakikat ini tidak boleh diabaikan dalam perancangan dasar negara.
Beliau turut memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai bukti bahawa asas pembentukan negara telah mengiktiraf keperluan langkah-langkah afirmatif bagi memulihkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang masih ketara hingga hari ini.
“Perkara 153 bukan agenda untuk menindas mana-mana kaum, sebaliknya ia adalah instrumen pemulihan struktur yang penting. Kita tidak boleh menafikan jurang ketara antara Melayu dan bukan Melayu dari segi pemilikan ekuiti, pendidikan, akses ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, banyak pihak hanya melihat bentuk bantuan atau subsidi sebagai bentuk ‘memanjakan’ sedangkan realitinya langkah itu adalah untuk memberdayakan dan menyediakan ruang persaingan yang lebih adil.
“Seperti payung, ia dibuka ketika ribut dan ditutup bila langit cerah. Begitu juga dasar untuk orang Melayu, ia bukan untuk selamanya tetapi ketika jurang masih besar, kita mesti jujur mengakui keperluannya,” tegasnya.
Hilman turut menempelak mereka yang secara mudah menyelar idea payung besar Melayu sebagai helah politik atau taktik untuk memperbodohkan masyarakat Melayu.
“Tuduhan seperti ini dangkal dan sangat merbahaya. Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa mempertahankan Melayu bermakna mempertahankan identiti negara. Ini bukan soal kaum semata-mata tetapi soal jati diri bahasa, budaya, agama dan sejarah,” katanya lagi.
Menurutnya, kedudukan Melayu dalam perlembagaan berkait rapat dengan Islam, bahasa kebangsaan dan adat istiadat, justeru apa-apa cubaan untuk melemahkan asas ini adalah cabaran terhadap pembinaan negara bangsa itu sendiri.
Beliau juga menarik perhatian terhadap realiti ekonomi yang sedang dihadapi rakyat Malaysia terutama dalam kalangan peniaga kecil dan kontraktor tempatan yang kini berdepan persaingan sengit daripada tenaga asing.
“Peniaga Melayu di pasar borong hari ini bersaing dengan warga Myanmar. Kontraktor kita terpaksa bersaing dengan warga Bangladesh dan Indonesia. Ini bukan soal rasis, ini soal realiti. Jika kita tidak memperkukuhkan dasar, kita akan terus kehilangan keupayaan dan kawalan ekonomi,” tegasnya.
Hilman menyeru seluruh masyarakat termasuk anak muda untuk melihat isu ini secara lebih pragmatik dan terbuka selain kembali mengamalkan politik berasaskan prinsip dan pemikiran.
“Kita perlu politik yang matang, realistik dan bersandarkan fakta. Sudah tiba masa kita bina semula kekuatan bangsa dengan kebersamaan bukan permusuhan.
“Bersatulah orang Melayu. Bersatulah rakyat Malaysia. Bersatu untuk Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya. -MalaysiaGazette
















