Mohd Khairudin didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang pemilik syarikat pendawaian elektrik didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memperdaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sungai Korok (SK) Balik Pulau berhubung pembekalan televisyen pintar pada Mei 2023.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Khairudin Ali Amran, 40, selepas dia membuat pengakuan salah terhadap yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintah tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa menipu PIBG SK Sungai Korok Balik Pulau dengan mempercayai bahawa enam unit Philips Smart TV bersaiz 65 inci akan dibekalkan seperti mana dinyatakan dalam sebut harga bernilai RM20,000.

Bagaimanapun, hanya empat unit TV diserahkan manakala baki dua unit bernilai RM5,600 tidak dibekalkan.

Dia didakwa melakukan kesalahn itu di sekolah terbabit pada 26 Mei 2023 dan pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee meminta budi bicara mahkamah menetapkan denda RM10,000 selain mengambil kira kepentingan awam dalam kes tersebut yang melibatkan sekolah.

Bagaimanapun, Mohd Khairudin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas atasan perlu menyara isteri dan dua anak yang mana salah seorangnya berstatus Orang Kelainan Upata (OKU) serta ibu yang sudah uzur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast