PARIS – Puluhan ribu penumpang terjejas akibat mogok oleh pekerja kawalan trafik udara Perancis yang menyebabkan pembatalan penerbangan di seluruh negara pada hari Khamis dan Jumaat, serta memberi kesan rantaian ke seluruh Eropah.
Syarikat penerbangan tambang rendah, Ryanair berkata, lebih 170 penerbangannya terpaksa dibatalkan, menjejaskan rancangan percutian lebih 30,000 penumpang.
Dua kesatuan sekerja Perancis menganjurkan mogok dua hari itu sebagai protes terhadap keadaan kerja, menyebabkan satu per empat penerbangan dibatalkan di lapangan terbang utama di Paris, dan separuh penerbangan di Lapangan Terbang Nice.
Menteri Pengangkutan Perancis, Philippe Tabarot mengecam tuntutan kesatuan dan tindakan mogok mereka sebagai tidak boleh diterima, terutamanya ketika musim cuti yang penting.
Ryanair berkata, mogok itu bukan sahaja menjejaskan penerbangannya ke dan dari Perancis, tetapi juga pesawat yang terbang merentasi ruang udara Perancis ke destinasi seperti United Kingdom, Ireland, Sepanyol dan Greece.
Ketua Eksekutif Ryanair, Michael O’Leary, menuduh pengawal trafik udara “menjadikan keluarga Eropah sebagai tebusan”.
“Ini tidak masuk akal dan amat tidak adil bagi penumpang EU yang ingin bercuti,” katanya, sambil menggesa Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, supaya mengambil tindakan segera untuk memastikan perkhidmatan minimum semasa mogok dan melindungi penerbangan yang melalui ruang udara Perancis daripada kesan mogok domestik.
Pihak berkuasa penerbangan awam Perancis, DGAC, telah meminta syarikat penerbangan mengurangkan jadual penerbangan di beberapa lapangan terbang di seluruh negara.
Gangguan dijangka bertambah buruk pada hari Jumaat, dengan pengurangan sebanyak 40% penerbangan dari lapangan terbang Paris seperti Charles de Gaulle, Orly, dan Beauvais.
Mogok itu dianjurkan oleh kesatuan UNSA-ICNA yang membangkitkan isu kekurangan kakitangan, masalah pengurusan, dan rancangan memperkenalkan sistem “clock-in” yang kontroversial untuk pengawal trafik udara. Rundingan dengan DGAC awal minggu ini gagal mencapai penyelesaian.
Airlines for Europe (A4E), badan penerbangan utama benua Eropah, menyifatkan mogok itu sebagai “tidak boleh diterima” dan memberi amaran ia akan mengganggu perancangan perjalanan pada waktu kemuncak musim cuti.
Syarikat tambang rendah EasyJet yang turut terjejas menyatakan “kekecewaan mendalam” dan menggesa penyelesaian segera.
Ryanair berkata, syarikat itu turut terjejas oleh konflik baru-baru ini di Timur Tengah, menyebabkan lebih 800 penerbangan dibatalkan bulan lalu.
Namun begitu, syarikat itu tetap mengendalikan lebih 109,000 penerbangan pada bulan Jun, menunjukkan kurang daripada 1% penerbangan yang terjejas. – Agensi
















