Naib Ketua Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Sri Sanjeevan menyelar kenyataan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mendakwa lebih selesa ‘bekerja secara senyap’ dalam memperkasa masyarakat India.

Tegas Sanjeevan, alasan untuk terus bekerja dalam diam tidak lagi relevan kerana Nurul Izzah kini merupakan sebahagian daripada kerajaan bukan lagi pembangkang malah anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah hampir tiga tahun Kerajaan Madani memerintah namun isu-isu kritikal masyarakat India masih terabai. Sampai bila masyarakat India perlu terus diperdengarkan dengan retorik seperti ini yang langsung tidak membawa penyelesaian konkrit?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sanjeevan mengulas kenyataan Nurul Izzah yang menegaskan sikapnya dilihat kurang bersuara dalam beberapa isu melibatkan masyarakat India bukan bermakna beliau tidak mengambil sebarang tindakan sebaliknya memilih untuk bekerja secara senyap dengan fokus kepada hasil yang konkrit.

Namun, kata Sanjeevan, pelbagai isu membelenggu masyarakat India masih belum ditangani secara serius oleh kerajaan ketika ini.

Ia termasuk kelewatan penyaluran dana MITRA, sekolah Tamil yang terus terbengkalai, kadar kemiskinan bandar yang semakin meningkat, isu status tanah kuil serta kejatuhan penyertaan pelajar India dari golongan B40 ke menara gading.

“Jika anda mendakwa sedang ‘bekerja dalam diam’, untuk siapa hasilnya? Masalah asas seperti pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti masih terbiar. Jadi, apa gunanya strategi senyap ini?” soal beliau lagi.

Sanjeevan turut membidas pendekatan kerajaan yang menurutnya lebih banyak bermain persepsi berbanding menunjukkan hasil sebenar di lapangan.

“Rakyat tidak mahu slogan. Mereka mahu pelaksanaan. Mahu bukti. Mahu perubahan. Jika benar mahu bantu masyarakat India, tampil secara telus dan jujur bukan hanya menjelmakan wajah simpati bila tiba musim pilihan raya,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun berada di pihak pembangkang dan tanpa sebarang mandat rasmi, Perikatan Nasional (PN) tetap turun padang dan membuka pusat khidmat masyarakat demi rakyat.

“Inilah perbezaan antara tindakan sebenar dan retorik kosong.

“Kerajaan Madani berhenti berselindung di sebalik slogan dan mula menunjukkan keberanian serta akauntabiliti dalam mengurus keperluan masyarakat secara terbuka dan bertanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast