JOHOR BAHRU – Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir menggarapkan pengalamannya selama 32 tahun dalam bidang kepolisian dan motivasi menerusi buku Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan yang dilancarkan secara rasmi hari ini.
Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu berharap buku itu menjadi panduan dan rujukan bagi mereka yang berdepan masalah dalam kehidupan.
“Buku ini lahir daripada pengalaman saya yang banyak membuat penulisan di akhbar berbentuk motivasi selain pengalaman dalam bidang kepolisian, keselamatan, pakar motivasi, pensyarahan serta penceramah bebas.
“Jadi, apabila saya lihat daripada persekitaran, kita ini ada banyak masalah dan semua orang sedang mencari apa makna sebuah kehidupan ini.
“Jadi, semua itu saya terangkan dalam bentuk buku tentang apa yang kita cari dalam kehidupan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Titian Perjalanan Sebuah Kehidupan’ di Open University Malaysia (OUM) di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Mohd Roslan yang berusia 56 tahun turut berkongsi teori digunakan pakar dalam menyelesaikan sesuatu masalah dalam kehidupan.
Menurutnya, semua orang ada masalah membabitkan masalah peribadi, kewangan atau negara dan mereka memerlukan jalan penyelesaian.
“Jadi saya bentukkan beberapa teori yang digunakan pakar antarabangsa dan juga daripada sudut Islam untuk melihat bagaimana kita hendak selesaikan masalah mengikut teori itu.
“Saya sertakan cara-caranya, jadi kalau baca buku ini, masalah berat badan pun kita boleh turunkan jika mengikut kaedah yang betul.
“Akhir sekali, kita melihat semua ini (masalah) berkait dengan perjalanan hidup kita, jadi kita akan dapat teruskan apa kita perlu buat dan seterusnya sehingga mencapai ketenangan, itulah yang saya abadikan dalam buku ini,” jelasnya.
Walaupun sarat dengan perkongsian teori dan motivasi namun isinya diterjemahkan dalam bentuk santai supaya dapat menarik minat pembaca memahami kandungan dan mesejnya.
“Buku ini berbentuk motivasi dan nasihat tetapi di samping itu, saya gunakan ilustrasi gaya kampung yang berbentuk memori sebab sekarang jarang nak dapat memori di kampung seperti dahulu, contoh gambar budak main basikal lama, main sungai, main tangga, guli dan gasing yang mana suasana itu sudah tiada sekarang.
“Kita nak terapkan semula supaya masyarakat generasi kini dapat tahu apa generasi terdahulu pernah buat, supaya mereka sedar, tiada zaman dahulu, tiadalah zaman sekarang,” katanya.
Bijak membahagikan masa, Mohd Roslan mengambil tempoh selama tiga tahun bagi menyiapkan buku yang mempunyai hampir 300 halaman itu.
Dengan terbitnya buku berkenaan, beliau berharap pelbagai peringkat usia dan latar belakang dapat membacanya dan mengambil manfaat yang dikongsikan.
“Semoga jadi sumber inspirasi bukan sahaja pada yang sedang mencari arah tetapi pada mereka yang sedang melangkah (dalam kehidupan).
“Saya dedikasikan buku ini pada insan yang percaya bahawa kehidupan ini bukan sekadar untuk dilalui tetapi untuk dihayati, diperjuangkan dan diwarnai,” katanya.
Buku terbitan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam itu dijual pada harga RM80 dan boleh juga diperoleh melalui kedai dalam talian, Shopee dengan harga promosi.
Pada 2022, Mohd Roslan menerbitkan buku pertamanya berjudul ‘Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa?’ yang mana beliau kongsikan hasil kajian yang dilakukannya selama tiga tahun bagi mengetahui faktor seseorang itu terbabit lumba haram. – MalaysiaGazette
















