Shahrulanuar Mushaddat menunjukkan kereta yang dirampas daripada dua suspek melakukan samun di Taman Soga Sutera, Batu Pahat

BATU PAHAT – Tidak sampai 24 jam melakukan samun di Taman Soga Sutera, di sini, pada 22 Jun lalu, dua lelaki yang masing-masing mempunyai 30 rekod jenayah berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku pukul 6 pagi selepas seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun menyedari rumahnya di taman berkenaan dipecah masuk.

“Pemeriksaan mendapati suspek melarikan barangan berharga dari dalam rumah dan sebuah kereta yang diparkir depan rumah. Anggaran jumlah nilai kerugian RM65,000.

“Bertindak atas siasatan dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) bersama sepasukan Task Force Daerah Batu Pahat berjaya menahan dua suspek.

“Kedua-duanya ditahan pukul 5 petang hari yang sama di Peserai, Batu Pahat dan kemudian tindakan susulan di kawasan Bandar Hilir, Melaka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memberitahu, suspek yang berjaya ditahan itu adalah dua lelaki tempatan yang berumur 50 dan 36 tahun.

Katanya, pihak polis berjaya menjumpai semula dan merampas barangan berharga serta sebuah kereta milik mangsa yang dicuri.

Antaranya kata beliau, pakaian, peralatan dan sebuah kereta curi yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan samun tersebut.

“Dalam serbuan dan tangkapan ini juga, polis merampas dadah iaitu heroin seberat 27.28 gram dianggarkan bernilai RM682.00 dan syabu (4.26 gram) bernilai RM468.60,” katanya.

Menurut Shahrulanuar Mushaddat, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek berumur 50 tahun mempunyai 29 rekod dan suspek berumur 36 tahun mempunyai 30 rekod yang berkaitan kes jenayah dan dadah,” ujarnya.

Kedua-dua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Jun lalu untuk siasatan dan siasatan dibuat bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast