Jerome Powell. Photo AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sekali lagi menggesa Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell untuk meletakkan jawatan, satu lagi serangan dalam siri kritikan yang menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan bank pusat Amerika Syarikat (AS).

Trump mengulangi gesaan agar Powell “meletakkan jawatan serta-merta” pada hari Rabu selepas ketua pengawal selia perumahan tertinggi pentadbirannya menggesa Kongres AS untuk memulakan siasatan terhadap ketua bank pusat itu.

Pengarah Agensi Pembiayaan Perumahan Persekutuan (FHFA), Bill Pulte dalam hantaran di X mendakwa Powell wajar disiasat atas “kecenderungan politik” dan “keterangan yang mengelirukan” mengenai kerja pengubahsuaian di ibu pejabat Rizab Persekutuan di Washington, DC.

Dalam hantaran balas di Truth Social, Trump berkata, “Too Late” – gelaran yang sering digunakan untuk mengkritik Powell kerana tidak menurunkan kadar faedah dengan cepat harus meletakkan jawatan.

Kritikan terbaharu Trump ini berlaku beberapa hari selepas beliau menghantar surat kepada Powell, menuntut agar kadar faedah penanda aras – yang kini berada pada julat 4.25 hingga 4.5 peratus diturunkan “dengan banyak”.

Trump telah berulang kali mengkritik Powell kerana enggan menurunkan kadar dengan lebih cepat, dengan alasan pendekatan berhati-hati Powell mengekang pertumbuhan ekonomi dan kebimbangan terhadap inflasi dianggap berlebihan.

Kadar faedah yang lebih rendah mengurangkan kos pinjaman bagi perniagaan dan pengguna, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi. Namun, pemotongan kadar juga boleh meningkatkan inflasi, yang lazimnya cuba dikawal oleh bank pusat.

Trump turut mengenakan tarif besar-besaran yang dijangka menambah tekanan ke atas harga barangan.

Pada hari Selasa, Powell memberitahu satu panel forum Bank Pusat Eropah di Portugal, pihaknya mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” terhadap pemotongan kadar untuk menilai kesan tarif yang dikenakan Trump, kebanyakannya masih belum dimuktamadkan menjelang tarikh akhir 9 Julai.

“Kami berhenti sejenak apabila melihat skala tarif yang dikenakan, dan hampir semua unjuran inflasi untuk Amerika Syarikat meningkat secara ketara sebagai kesan langsung.

“Kami tidak bertindak balas secara berlebihan. Malah, kami tidak bertindak balas langsung; kami hanya mengambil sedikit masa,” katanya.

Trump berulang kali menuntut agar Powell meletakkan jawatan sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari, walaupun tempoh jawatan Powell hanya tamat pada Mei 2026.

Minggu lalu, Trump memberitahu pemberita, beliau akan “suka” jika Powell meletakkan jawatan “jika beliau mahu”.

Pada bulan April, Trump berkata, pemecatan Powell “tidak boleh berlaku dengan cukup pantas,” sebelum menarik balik kenyataan itu selepas pasaran saham dan nilai dolar AS jatuh mendadak.

Menurut undang-undang Persekutuan AS, Presiden hanya dibenarkan memecat Pengerusi Fed “atas sebab tertentu,” yang lazimnya ditafsirkan sebagai salah laku khusus, bukan semata-mata keputusan dasar.

Pada bulan Mei, Mahkamah Agung AS mengesahkan semula kuasa presiden untuk memecat ketua bank pusat adalah terhad, dengan menekankan Rizab Persekutuan mempunyai status unik berbanding agensi bebas yang lain.

Trump pada hari Selasa turut memberitahu pemberita, beliau mempunyai “dua atau tiga” calon untuk menggantikan Powell, namun tidak memberikan butiran lanjut. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast