Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Individu yang menceroboh masuk ke kawasan landasan trasit aliran ringan (lrt ) di Stesen Subang Alam pagi tadi disyaki cuba mencederakan diri sendiri.

Rapid Raid Sdn.Bhd. (Rapid Rail) berkata, dalam kejadian jam 8.02 pagi, penumpang tersebut melompat masuk ke kawasan landasan ketika sebuah tren sedang menghampiri platform.

“Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Polis Diraja Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dari pihak operasi Rapid Rail,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Berikutan insiden tersebut, pengendali lrt itu mengaktifkan perkhidmatan alternatif membabitkan tren dari Stesen Putra Heights berhenti di Stesen Alam Megah dan berpatah balik ke Putra Heights.

Selain itu, tren dari Stesen Gombak akan berakhir di Stesen Alam Megah dan berpatah balik ke Gombak.

Menurut kenyataan itu, individu tersebut berjaya diselamatkan, namun mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut dan Rapid Rail akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

Sementara itu, menurut Rapid Rail, perkhidmatan kembali beroperasi seperti biasa pada jam 10.22 pagi selepas mengalami gangguan sementara pada pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast