Tangkap layar video yang tular memaparkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang kumpulan lelaki bersenjatakan pistol dalam kejadian di kawasan stesen minyak di LinKedua, Gelang Patah, Iskandar Puteri, malam semalam.

ISKANDAR PUTERI- Seorang lelaki maut ditembak dalam kejadian samun melibatkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang kumpulan lelaki lain yang mempunyai pistol di kawasan stesen minyak di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua), Gelang Patah di sini malam semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku pukul 12.12 tengah malam semalam dipercayai bermotifkan samun apabila kumpulan lelaki bersenjatakan parang menyerang kumpulan lelaki bersenjatakan pistol menyebabkan tembakan dilepaskan.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, pihaknya menerima maklumat mengenai mayat seorang lelaki warga tempatan dengan beberapa kesan tembakan di bahagian badan ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pukul 1.40 pagi semalam tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hospital menunjukkan si mati ditinggalkan dua individu yang sedang dikenal pasti dengan menggunakan kereta berwarna gelap,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Semakan melalui padanan cap jari mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah

“Semakan juga mendapati mangsa tersebut mempunyai empat rekod jenayah lampau dan bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan mendapati punca kematian adalah multiple gunshot wounds to the chest and abdomen,” ujarnya.

Bertindak aras maklumat, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Kenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri membuat tangakapan pukul 7 petang semalam.

Jelasnya, tangkapan itu melibatkan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara India berusia lingkungan 30 sehingga 40 tahun di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Turut dirampas daripada suspek sepucuk pistol jenis Glock 19, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kelopak peluru berisi enam butir peluru saiz 9mm, kereta jenis Honda Accord warna hitam dan kelongsong peluru.

“Salah seorang suspek yang ditangkap bekerja sebagai pengawal peribadi dan siasatan awal mendapati mempunyai lesen pemilikan senjata. Bagaimanapun siasatan akan dibuat berkaitan status pemilikan tersebut,” katanya.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Julai ini.

Tanbahnya, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti kaitan lelaki yang mati itu dengan suspek-suspek dalam dua insiden berkenaan.

Siasatan dibuat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960, katanya.

“Siasatan diteruskan untuk mengesan suspek-suspek yang masih bebas. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau membuat komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau manipulasi fakta terutama dalam media sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast