Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail

AMPANG – Tidak berpuas hati bunyi kuat pintu bilik air yang dihempas, seorang pemain muzik yang juga komposer ditahan polis disyaki memukul rakan serumahnya menggunakan pemegang gitar di Pandan Indah, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 46 tahun dibuat sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang jaya pada 2 Julai sekitar jam 4.45 petang.

“Kejadian berlaku ketika mangsa beusia 52 tahun sedang tidur di bilik sewanya sebelum terjaga akibat terdengar bunyi hempasan pintu bilik air.

“Akibat tidak berpuas hati, mangsa telah keluar dari biliknya dan menghempas pintu bilik air itu semula dan tidak lama selepas itu, suspek keluar membawa batang besi serta memukul mangsa.

“Kemudian berlaku pertengkaran mulut antara mereka dan suspek turut mengugut akan membawa kawannya memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Mohd Azam, dalam kejadian itu mangsa mengalami kecederaan di tangan dan bertindak membuat laporan polis kira-kira jam 6.30 pagi pada hari kejadian.

“Tangkapan suspek dilakukan di kawasan Pandan Indah dan polis turut merampas sebatang pemegang gitar berwarna hitam bagi membantu siasatan.

“Semakan lanjut mendapati, mangsa dan suspek sudah beberapa kali bertengkar disebabkan gangguan bunyi.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, dan semakan lanjut suspk tiada rekod jenayah lampau,”ujarnya.

Beliau memaklumkan, suspek telah dibebaskan dengan jaminan pollis selepas percakapannya dirakam ketika dia ditahan.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast