KUANTAN – Seorang peniaga warga emas di Temerloh rugi lebih RM200,000 setelah diperdaya menyertai skim pelaburan secara atas talian tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa yang berusia 27 tahun itu ternampak sebuah iklan pelaburan di laman media sosial Facebook pada bulan Mei lepas.
“Mangsa telah diarahkan memuat turun aplikasi ‘J&R INT’ melalui aplikasi Google Play dan mendaftar sebagai peserta skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.
“Setelah mendaftar, mangsa berhubung dengan seorang individu bernama ‘Jasmin’ melalui aplikasi WhatsApp dan diarahkan membuat pembayaran ke dua akaun syarikat yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Yahaya berkata, mangsa yang akur kemudian membuat sebanyak tujuh transaksi secara atas talian dari 29 Mei hingga 19 Jun dengan jumlah keseluruhan RM202,000 wang hasil simpanannya.
Namun, katanya, apabila mangsa cuba membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM100,000 yang tertera dalam aplikasi pelaburan tersebut, dia diminta untuk membayar ‘cukai’ pula sebanyak RM147,833.08.
“Mangsa yang merasakan sesuatu yang tidak kena dan mengesyaki telah ditipu oleh individu terbabit kemudian membuat laporan polis,” tambah Yahaya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.
Masyarakat juga katanya diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.- MalaysiaGazette
















