Lori bawa muatan tanah merah tanpa kebenaran yang dirampas pihak polis semalam.

SUNGAI PETANI – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 38 tan tanah merah bernilai RM250,000 yang diambil tanpa kebenaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah dalam satu operasi semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan dilakukan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA itu turut membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 54 tahun yang disyaki terbabit dalam aktiviti itu.

“Kita merampas 38 tan tanah merah itu selepas mendapati ia dibawa tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Nilai keseluruhan rampasan adalah RM250,000 dan kes disiasat mengikut Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Bilangan 1/2023,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Tambah beliau, pihaknya giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah bagi mengekang semua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan.

“Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya yang membabitkan hasil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Masyarakat atau pengguna diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast