KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor dekat sini hari ini kerana menganiaya anak angkatnya dengan memukul mangsa menggunakan lesung batu dan kayu serta mengelar dengan pisau sehingga cedera bulan lalu.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman terhadap wanita berusia 54 tahun itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah bon berkelakuan baik selama dua tahun selain perlu melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh empat bulan sebaik selesai menjalani hukuman penjara.
Hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 28 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai penjaga kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak angkatnya dengan cara memukul kanak-kanak itu menggunakan kayu dan lesung batu serta mengelar dengan pisau hingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bendahara, Kuala Selangor pada Jun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes dera membabitkan kanak-kanak.
Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd. Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara ringan bermula dari tarikh tangkap dengan alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana tiada pendapatan selain suaminya kini dipenjara akibat kes dadah. – MalaysiaGazette















