Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Ekspo Makanan Selamat (eMAS) dan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Kebangsaan 2025 di Alamanda, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan merekodkan 707 kes keracunan makanan tahun lalu manakala 204 kes dilaporkan sehingga Mei lalu.

Menterinya, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 23 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut beliau, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024  menunjukkan 40.5 peratus populasi dalam kalangan warga emas dan 28.7 peratus populasi remaja tidak membaca label produk makanan.

Manakala perangkaan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 600 juta orang jatuh sakit setiap tahun di seluruh dunia disebabkan oleh penyakit bawaan makanan.

“Beban kos tahunan di seluruh dunia untuk rawatan penyakit bawaan makanan ini juga dianggarkan menjangkau RM60 billion atau AS$15 billion setahun,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sebagai peneraju atau `gatekeeper’ kepada keselamatan makanan sentiasa komited menjalankan inisiatif dan kempen advokasi bagi memastikan isu-isu keselamatan makanan dapat dibendung.

Antara reruai yang menjual pelbagai jenis makanan pada Majlis Perasmian Ekspo Makanan Selamat (eMAS) dan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat Kebangsaan 2025 di Alamanda, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 05 JULAI 2025

 

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Makanan Selamat (eMAS) sempena Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025 di sini hari ini.

Program tiga hari hingga esok diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Keselamatan Makanan Malaysia (MAFSA) yang merupakan inisiatif penting untuk memperkasa industri makanan selamat negara.

Dalam ucapannya, Dzulkefly berkata, salah satu inisiatif penting ialah Premis Bersih Bebas Asap (BeBAS) bagi memastikan makanan yang lebih selamat dan berkualiti serta bebas asap rokok disajikan kepada rakyat negara ini.

Ujarnya, hasil inisiatif itu, KKM berjaya meningkatkan bilangan premis makanan yang mendapat Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) daripada 11,200 kepada 13,998 premis dengan peningkatan sebanyak 24.9 peratus.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Modul Pengajaran Latihan Pengendali Makanan Khas bagi Pengendali Makanan Kategori OKU.

Modul itu membawa impak besar dan membuka lembaran baharu kepada golongan OKU di negara ini.

Dalam ucapannya, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada rakan strategik KKM iaitu Zuspresso (M) Sdn. Bhd., Secret Recipe Manufacturing Sdn. Bhd., Petronas Dagangan Berhad (Mesra Retail & Cafe Sdn. Bhd.) dan PLUS Malaysia Berhad.

Penghargaan turut diberikan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) kerana komited pelaksanaan program Food Safety for Young Generation (FooYoo) bagi melahirkan generasi belia yang cakna keselamatan makanan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast