KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menyemak semula keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNNA) pihak yang didakwa terlibat dalam sindiket pelaburan palsu mengaut untung lebih RM47 juta.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan kes yang telah berlarutan sejak tahun 2020 itu, memandangkan majoriti mangsa masih belum mendapat sebarang pembelaan, meskipun laporan polis telah dibuat terhadap syarikat yang terbabit.
“Kita difahamkan siasatan telah dibuat dan pertuduhan juga telah difailkan. Namun kes ini diklasifikasikan sebagai DNNA selepas ada pengadu bertindak menarik semula laporan polis.
“Bagaimana pula dengan yang lain? Adakah keadilan boleh dinafikan begitu sahaja?,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Hishamuddin mendedahkan pihaknya sudah menyerahkan surat bersama kira-kira 50 mangsa kepada AGC semalam supaya pihak itu meneliti semula kes ini secara menyeluruh dan mempertimbang untuk meneruskan semula pertuduhan terhadap dalang atau mana-mana individu yang terbabit.
“Mangsa-mangsa terdiri daripada warga emas, pesara, peniaga kecil dan pekerja swasta. Mereka melabur bukan kerana tamak, tetapi kerana terpedaya dengan janji manis pulangan 10 peratus sebulan. Ada yang sanggup menggadai emas, membuat pinjaman perumahan semula, malah mengeluarkan wang KWSP,” katanya.
Menurut beliau, skim yang dijalankan itu menggunakan modus operandi pelaburan ala hutang, yang mana peserta menandatangani perjanjian pinjaman dan dijanjikan keuntungan kononnya hasil daripada perniagaan restoran, hotel, gimnasium dan perniagaan lain.
“Siasatan kami di MHO mendapati skim ini tidak berdaftar di bawah Bank Negara (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC). Ia jelas merupakan skim haram yang melanggar undang-undang kewangan negara,” tegasnya.
Beliau menambah, MHO juga telah menyerahkan maklumat kepada pihak berkuasa dan menyarankan agar siasatan dijalankan di bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) memandangkan wujud unsur pelaburan tidak sah yang menindas pengguna.
“Kita tidak mahu kes ini menjadi satu lagi statistik penipuan kewangan yang berakhir tanpa tindakan tegas. Apabila penjenayah dilepaskan begitu sahaja, ia memberi mesej yang salah kepada masyarakat dan membuka ruang kepada lebih banyak penipuan pada masa akan datang,” kata Hishamuddin lagi. -MalaysiaGazette















