BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) berhasrat merampas kerusi-kerusi Parlimen milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tinjauan dan kajian perlu dilakukan di kerusi terbabit bagi memberi laluan kepada calon UMNO untuk bertanding.
“Kerusi-kerusi itu akan kembali ditandingi calon UMNO dalam PRU akan datang. Cuba kalau kita bersama Bersatu atau Pas, kerusi mana yang dia nak beri kita,” soalnya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan.
Ahmad Zahid berkata, realiti politik hari ini adalah berbeza dan UMNO dibantu rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menang dalam pilihan raya.
Katanya, UMNO hanya ada 26 kerusi manakala selebihnya disumbang komponen BN dan sekiranya BN bertanding menentang Bersatu dan Pas secara bersendirian, parti itu akan rugi.
Jelasnya, atas dasar tersebut BN dan UMNO perlukan kerjasama politik dan pada masa sama meminta semua pihak tidak terpengaruh dengan naratif UMDAP dimainkan pihak tertentu.
“Kemenangan kita hari ini bukan sebab kita hebat tapi kerana kita dibantu oleh rakan PH dan parti lain. Saya tahu, ramai yang tak setuju, tapi itulah hakikatnya.
“Akhir kata, ini bukan tentang saya… ini tentang UMNO. Kita bangkit bukan sebab seorang tetapi kerana seluruh ahli dan kepimpinan yang setia,” katanya.
Mengenai permintaan UMNO bahagian itu yang mahu kerusi Parlimen Sri Gading Gading yang kini disandang Parti Amanah Negara (Amanah) diserahkan kepada parti itu pada PRU-16, Ahmad Zahid bersetuju cadangan tersebut.
Namun Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO secara berseloroh berkata, perkara itu diserahkan kepada Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, Onn Hafiz perlu mencari kawasan lain untuk diberi kepada Amanah.- MalaysiaGazette
















