KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berhati-hati apabila membeli lembu atau kambing yang dijual pada harga terlalu murah.
Ia susulan pembongkaran siasatan enemuan dadah yang disorokkan dalam timbunan tahi lembu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara ini bukanlah mengejutkan kerana siasatan awal harga daging lembu yang terlalu murah, terutamanya di negeri-negeri bersempadan dengan Thailand memang menunjukkan ada unsur penyelewengan yang mencurigakan.
Dakwanya, laporan awal yang diterimanya beberapa bulan lalu memaklumkan lebih 80,000 ekor lembu telah diseludup masuk ke negara ini.
Ini bukan sahaja satu ancaman kepada pendapatan penternak tempatan, malah membahayakan industri ternakan negara secara keseluruhan.
“Lembu-lembu seludup ini tidak melalui sebarang proses kuarantin atau pemeriksaan kesihatan, dan berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh merebak kepada ternakan tempatan.
“Lebih malang, ada pula lembu ini yang dijadikan ‘keldai dadah’. Inilah realiti yang kita sedang hadapi,” katanya di sini.
“Jangan kerana nak jimat RM10, kita tanpa sedar menyokong aktiviti jenayah yang boleh merosakkan negara,” ujarnya sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang telah membongkar kes ini dan menahan mereka yang terlibat.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak akan sesekali berkompromi dengan dadah yang merosakkan generasi muda, dan penyeludupan haiwan yang mengancam industri makanan negara.
“Kedua-duanya mesti kita tentang habis-habisan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Mohamad yakin pelantikan Datuk Seri Mohd. Suhaily Mohd. Zain sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memperkukuhkan lagi usaha negara membanteras penyeludupan di sempadan.
Katana, pengalaman dan ketegasan Mohd Shuhaily dalam bidang keselamatan akan menjadi aset penting dalam menyekat kegiatan haram yang selama ini menjejaskan keselamatan makanan negara dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette
















