Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia Pejabat Perdana Menteri, Prabakaran Parameswaran (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media ketika hadir pada Program Pemerkasaan Literasi STEM bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Malaysia di Dewan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Foto HARI ANGGARA, 5 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR –Isu berkaitan usaha membantu masyarakat India di negara ini tidak wajar dipertikaikan secara terbuka sebaliknya perlu penyelesaian penting terutamanya dari segi struktur dan dasar.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, pendekatan lebih matang dan konstruktif perlu diambil agar segala perbezaan pendapat saling diselesaikan secara berhemah serta berfakta. 

“Saya berpandangan bahawa isu sepenting ini tidak wajar dijadikan medan tuding-menuding secara terbuka.

“Masyarakat tidak mahu melihat perbalahan yang hanya mengundang kekeliruan, sebaliknya (mereka) mendambakan hasil yang nyata,” katanya hari ini.

Prabakaran mengulas laporan media berhubung perbezaan pandangan dua tokoh politik, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri M Saravanan baru-baru ini. 

Katanya, pendekatan berhemah berlandaskan fakta perlu digunakan agar segala perbezaan pendapat dapat diselesaikan secara objektif.

Justeru itu, Prabakaran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), mencadangkan satu sesi meja bulat diadakan dalam masa terdekat yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam kalangan komuniti itu.

Ini termasuk wakil kerajaan dan pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat sivil, pakar dasar awam, akademik serta pemimpin komuniti India.

“Sesi ini bertujuan untuk menilai dasar dan usaha sedia ada, membentangkan bukti atau data yang menyokong sebarang kenyataan, dan merangka jalan penyelesaian bersama yang lebih inklusif dan berkesan.

“Semangat keterbukaan, keikhlasan dan kerjasama rentas pihak, penyelesaian jangka panjang dapat dicapai. Saya yakin hanya melalui pendekatan ini, kita dapat mencari titik tengah dan membawa perubahan yang lebih bermakna kepada masyarakat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast