Jonathan Vela

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Cabang Keadilan Bandar Tun Razak, Jonathan Vela mempertahankan pendekatan senyap Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam menangani isu-isu berkaitan komuniti India, sambil menegaskan ketiadaan publisiti bukan bererti ketiadaan tindakan.

Menurutnya, walaupun terdapat kecenderungan dalam kalangan pendebat politik untuk mempersoalkan usaha yang tidak dipertontonkan secara terbuka tetapi hakikatnya, tidak semua isu sesuai dibincang secara lantang.

Apatah lagi perkara yang melibatkan sensitiviti kaum dan kepentingan jangka panjang masyarakat terpinggir, ujarnya.

“Nurul Izzah bukan sekadar berdiam diri tetapi kini memainkan peranan penting dalam usaha pembangunan strategik menerusi pelbagai platform termasuk sebagai penasihat dasar kepada GLC teknologi negeri Selangor, SIDEC.

“Tugasnya melibatkan penglibatan langsung dalam perbincangan tertutup bersama pakar dasar, pegawai kerajaan dan pertubuhan masyarakat bagi merangka penyelesaian kepada isu seperti pemilikan tanah kuil, pendidikan Tamil, dan penyaluran dana MITRA,” katanya dalam kenyataan.

Jonathan turut mengulas kenyataan terbaru Datuk Sri Sanjeevan yang menuntut bukti kononnya tiada tindakan konkrit dibuat.

Menurutnya, sikap Sanjeevan tidak ubah seperti menafikan usaha sistemik yang sedang dijalankan semata-mata kerana ia tidak dipertontonkan di pentas umum.

Beliau menyifatkan kenyataan tersebut sebagai gopoh dan tidak adil malah menolak tanggapan bahawa kehadiran senyap dalam isu komuniti India sama dengan ketiadaan peranan.

Katanya lagi, Nurul Izzah bukan politikus yang mengejar publisiti murahan atau bercakap semata-mata untuk meraih sorakan, sebaliknya memilih untuk bekerja dalam diam demi mencapai hasil yang sebenar dan mampan.

“Dasar yang menyentuh masa depan masyarakat minoriti bukan sahaja memerlukan diplomasi, malah kebijaksanaan untuk mengelak manipulasi politik yang sering mengeksploitasi penderitaan rakyat,” ujarnya.

Menjawab sindiran daripada bekas pemimpin DAP, Prof. P. Ramasamy, yang mendakwa debat antara Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah hanyalah hiburan politik yang melalaikan daripada agenda reformasi, Jonathan berkata, politik seharusnya tidak terhenti pada siapa paling lantang bersuara.

Sebaliknya, nilai sebenar terletak pada siapa yang mampu membina struktur dasar yang kukuh, melaksanakan reformasi dengan konsisten dan memahami akar masalah sebenar.

“Ini tidak diukur dengan jumlah kenyataan media, tetapi dengan hasil yang dapat dirasai oleh rakyat. Nurul Izzah memilih laluan yang lebih senyap kerana tahu bahawa perubahan sebenar memerlukan masa, rundingan dan ketahanan,” ujarnya.

Jonathan menggesa semua pihak, termasuk pengkritik dan penyokong, agar berhenti menjadikan emosi dan persepsi sebagai ukuran mutlak dalam menilai kerja pemimpin.

”Suara  rakyat yang terpinggir memerlukan tindakan yang berasaskan data, dasar dan impak bukan retorik kosong,” tambahnya. -MalaysiaGazette

Sokong Nurul Izzah bekerja secara senyap, tak perlu suara kuat di pentas ceramah

Sanjeevan sindir Nurul Izzah: Cukup bekerja dalam diam, rakyat mahu bukti

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast