BAITULMAQDIS – Penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki kini berdepan peningkatan mendadak dalam serangan oleh peneroka haram, di samping peningkatan 40% dalam jumlah pos penempatan baharu di bawah kerajaan semasa yang dipimpin oleh Benjamin Netanyahu.
Saluran Israel Channel 12 melaporkan, sejak kerajaan Netanyahu dibentuk pada akhir 2022, Tebing Barat mengalami lonjakan besar dalam pembinaan penempatan haram Israel.
Jumlah penempatan meningkat daripada 128 kepada 178 peningkatan sekitar 40%, selain perobohan rumah-rumah Palestin secara besar-besaran dan belum pernah berlaku sebelum ini.
Laporan ini muncul dua hari selepas 14 menteri Israel daripada Parti Likud pimpinan Netanyahu, bersama Speaker Knesset Amir Ohana, menandatangani surat mendesak Netanyahu supaya segera merampas wilayah Palestin yang diduduki.
Biasanya, Tel Aviv tidak memberi perhatian serius terhadap serangan peneroka terhadap penduduk Palestin.
Namun baru-baru ini, serangan peneroka ke atas tentera dan polis Israel sendiri telah menarik perhatian semua ahli politik Israel.
Pada 28 Jun lalu, tiga rakyat Palestin terbunuh dan tujuh lagi cedera dalam serangan peneroka ke atas bandar Kafr Malik di tengah Tebing Barat.
“Pengumuman berpuluh-puluh penempatan baharu, kadar luar biasa dalam pembinaan pos haram, pembinaan jalan strategik, dan perobohan bangunan Palestin secara besar-besaran semuanya bertujuan mengukuhkan penguasaan Yahudi ke atas kawasan tersebut dan pada hakikatnya menghapuskan penyelesaian dua negara,” menurut media tersebut.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Gerakan Sayap Kanan Regavim, Meir Deutsch berkata, tiada kerajaan sebelum ini yang menggalakkan penempatan seperti kerajaan ini.
“Israel kini mentadbir Judea dan Samaria (nama yang digunakan Israel untuk Tebing Barat) seperti tuan rumah, buat pertama kalinya sejak negara ini ditubuhkan pada 1948 (atau dikenali rakyat Palestin sebagai Nakbah),” katanya.
Menurut laporan itu, sekurang-kurangnya 50 penempatan baharu telah diumumkan sejak kerajaan semasa ditubuhkan.
“Menurut data penyelidikan, 19 daripada penempatan yang diiktiraf itu sudah pun wujud, tujuh daripadanya adalah ladang ternakan, 14 adalah kawasan kejiranan dalam penempatan, dan 10 lagi hanyalah penempatan atas kertas” tambah laporan tersebut.
Selain penubuhan puluhan penempatan baharu, pembinaan dalam penempatan sedia ada juga mencatat rekod dalam tempoh dua setengah tahun kebelakangan ini, dan semakin meningkat sejak awal 2025.
Sebanyak 41,709 rumah peneroka telah diluluskan, jumlah ini melebihi bilangan dalam tempoh enam tahun sebelum kerajaan Netanyahu.
Menurut saluran itu, jumlah pos penempatan haram di Tebing Barat mencapai 214 menjelang akhir 2024, dengan 66 daripadanya ditubuhkan semasa perang genosid Israel di Gaza.
Dalam dua tahun pertama pemerintahan kerajaan semasa, jumlah pos penempatan haram meningkat sekitar 300% berbanding dua tahun sebelumnya.
Kebanyakan pos penempatan haram yang baru ditubuhkan adalah ladang ternakan yang merangkumi kawasan luas, dengan tanah ragut kini meliputi kira-kira 787 kilometer persegi, kebanyakannya di tengah dan timur Tebing Barat
Channel 12 juga menyatakan, peningkatan pembinaan penempatan seiring dengan pertambahan jumlah peneroka haram, di mana dari tahun 2013 hingga 2023, bilangan peneroka di Tebing Barat meningkat sebanyak 38%, daripada 374,000 kepada 517,000, menurut data Majlis Penempatan Tebing Barat, Yesha. – Agensi
















