KUANTAN – Walaupun tidak mempelajari bidang seni secara rasmi, Redzuan Abas, 44 berjaya menterjemahkan bakat semula jadi dan meraih perhatian peminat lukisan pada kasut dari dalam dan luar negara.
Bapa kepada dua orang anak itu berkata, dia mula melukis kasut sejak tahun 2016 kerana minat yang kuat terhadap kasut dan lukisan.
“Saya mula serius buat kerja ni sejak 2017. Selain melukis pada kasut, saya juga sediakan perkhidmatan cuci kasut, gam semula tapak, jahit semula dan cat balik.
“Harga bergantung pada rekaan. Saya kenakan harga sekitar RM150 dan paling mahal boleh cecah RM800,” katanya.

Bermula dari minat dan hobi, kini kerja seninya itu menjadi punca rezeki buat Redzuan dan keluarganya.
Malah, dia pernah membuka perniagaan sendiri di Petaling Jaya, Selangor berikutan permintaan yang meningkat.
Antara permintaan popular dalam kalangan peminat termasuk lukisan karakter anime seperti One Piece, Demon Slayer, Dragon Ball dan Jujutsu Kaisen.
Redzuan memberitahu, dia menggunakan cat khas yang diimport dari luar negara dan lazimnya mengambil masa tiga hingga 14 hari untuk menyiapkan sepasang kasut mengikut rekaan diminta pelanggan.
“Antara kenangan paling manis ialah apabila hasil kerja saya pernah mendapat pujian daripada ikon ‘custom’ kasut Amerika Syarikat, DeJesus Footwear.
“Saya hantar gambar rekaan saya, dia puji dan cakap dia sendiri belum siap kasut model tu lagi. Bangga sangat sebab saya memang minat kerja dia,” katanya.

Namun, Redzuan memberitahu dia terpaksa menutup perniagaannya di Petaling Jaya pada tahun 2022 dan pulang ke kampung halaman di Felda Kepayang, Bera kerana ingin menjaga adiknya yang sakit.
Meskipun terpaksa memulakan semula perniagaannya, Redzuan tetap bersemangat dan mempunyai pelanggan tetap yang mengikuti hasil karyanya.
“Saya tahu buat benda ni saja. Walaupun terpaksa undur seketika demi keluarga, saya tetap akan terus melukis. Ini bukan sekadar kerja, ini semangat saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















