OBESITI adalah satu perkataan yang sering menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang takut, ada yang malu, dan ada juga yang acuh tak acuh. Tapi hakikatnya, obesiti bukan sekadar soal berat badan. Ia adalah isu kesihatan yang semakin membimbangkan di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, hampir separuh rakyat dewasa di negara kita mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Lebih mengejutkan, kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak juga semakin meningkat. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?
Ramai menganggap obesiti berpunca daripada makan terlalu banyak. Tapi realitinya, obesiti ialah hasil daripada pelbagai faktor. Contohnya, pemakanan, kurang aktiviti fizikal, tekanan emosi, genetik, dan juga gaya hidup harian. Kehidupan moden yang serba pantas kadangkala memaksa kita memilih jalan mudah. Contohnya, makan makanan segera, kurang tidur dan duduk terlalu lama di depan skrin.
Bayangkan, berapa ramai antara kita yang makan lewat malam kerana sibuk bekerja? Atau yang ‘reward’ diri dengan makanan manis setiap kali stres? Antara faktor utama yang menyumbang kepada obesiti ialah gaya hidup sedentari, iaitu kurangnya aktiviti fizikal harian. Gaya hidup ini sering berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di pejabat, di mana kebanyakan masa dihabiskan dengan duduk di hadapan komputer tanpa banyak pergerakan. Keadaan ini menyebabkan kalori yang diambil tidak digunakan sepenuhnya, lalu disimpan sebagai lemak dalam badan.
Selain itu, tekanan hidup juga memainkan peranan besar. Ramai individu cenderung untuk makan secara emosional, menjadikan makanan terutamanya yang tinggi gula dan lemak sebagai alat untuk mengatasi stres, kesedihan, atau kebosanan. Jika tabiat ini berterusan, ia boleh menyumbang kepada kenaikan berat badan yang tidak sihat. Waktu rehat yang tidak mencukupi turut menjadi penyumbang yang sering tidak disedari. Kajian menunjukkan kurang tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon yang mengawal selera makan, iaitu leptin dan ghrelin. Apabila tidur terganggu, tubuh cenderung merasa lapar lebih kerap, sekali gus mendorong seseorang untuk makan lebih banyak daripada keperluan sebenar.
Pengaruh persekitaran juga tidak boleh diketepikan. Kita hidup dalam dunia yang serba mudah – makanan segera, minuman bergula, dan snek berproses boleh didapati dengan cepat dan murah. Pilihan sihat pula seringkali kurang tersedia atau lebih mahal, menjadikan pemilihan gaya pemakanan sihat satu cabaran harian. Faktor genetik dan metabolisme individu turut mempengaruhi risiko obesiti. Sesetengah orang secara semula jadi mempunyai kadar metabolisme yang lebih perlahan atau genetik yang cenderung menyimpan lemak dengan lebih mudah, walaupun mereka makan dalam kuantiti yang sederhana.
Ini menjadikan perjalanan mengawal berat badan berbeza-beza antara individu, dan perlunya pendekatan yang bersifat peribadi dan berempati. Oleh itu, tidak adil untuk mengatakan obesiti hanya berpunca daripada kelemahan disiplin diri. Ramai individu obes sebenarnya telah mencuba pelbagai cara untuk menguruskan berat badan seperti diet, senaman, malah ubat-ubatan tetapi tidak semua mendapat hasil yang diharapkan.
Obesiti bukan soal rupa. Ia berkait rapat dengan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, masalah jantung dan juga risiko kanser. Ramai yang tidak sedar bahawa obesiti juga boleh menjejaskan kesihatan mental. Rasa rendah diri, kemurungan, dan stigma masyarakat boleh menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih rendah. Inilah bahaya sebenar obesiti, ia perlahan-lahan ‘mencuri’ kesihatan kita tanpa kita sedar.
Apabila kita bercakap tentang obesiti, masyarakat sering melihatnya dari sudut luaran sahaja seperti rupa fizikal, bentuk badan yang ‘besar’, atau perubahan saiz pakaian. Namun, hakikatnya, kesan obesiti jauh lebih dalam daripada apa yang terlihat di cermin. Ia bukan sekadar soal penampilan, tetapi merupakan satu beban fizikal dan emosi yang mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan seseorang. Dari segi kesihatan tubuh badan, obesiti meningkatkan risiko kepada pelbagai penyakit kronik yang serius.
Berat badan berlebihan memberi tekanan kepada jantung, menyebabkan fungsi saluran darah terjejas, dan akhirnya membuka jalan kepada penyakit jantung serta strok. Pada masa yang sama, kadar gula dalam darah sukar dikawal, menjadikan seseorang lebih mudah menghidap diabetes jenis dua. Sendi-sendi pula, terutamanya di bahagian lutut dan pinggang, mula menanggung beban yang tidak seimbang, menyebabkan kesakitan yang berpanjangan dan mengehadkan pergerakan harian. Bukan itu sahaja, obesiti juga telah dikaitkan dengan peningkatan risiko terhadap beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, usus, dan rahim, yang secara senyap boleh berkembang tanpa sebarang amaran awal.
Namun, yang lebih menyedihkan ialah kesan terhadap kesihatan mental dan emosi. Ramai individu yang mengalami obesiti turut menderita dalam diam bukan kerana penyakit, tetapi kerana pandangan dan layanan masyarakat terhadap mereka. Mereka sering menjadi sasaran gurauan, dihina, atau dibanding-bandingkan secara tidak adil. Kata-kata sinis seperti “kalau kurus mesti cantik”, “makan kuat sangat”, atau “malas bersenam” kedengaran remeh bagi sesetengah orang, tetapi sebenarnya sangat menyakitkan dan menjatuhkan keyakinan diri mereka.
Lama-kelamaan, perasaan malu, rendah diri, dan kemurungan mula bersarang dalam fikiran. Ada yang takut untuk keluar rumah, bimbang menjadi perhatian atau bahan ejekan, dan akhirnya menarik diri dari pergaulan sosial.Lebih menyayat hati, stigma terhadap obesiti bukan sahaja datang daripada orang luar. Kadangkala, ia datang daripada keluarga sendiri iaitu, orang yang paling dekat dan dipercayai. Bila sindiran datang dari mereka yang sepatutnya menjadi sistem sokongan, luka emosi menjadi lebih dalam. Ramai yang cuba melawan, cuba berubah, tetapi proses itu tidak mudah.
Mereka bukan sahaja perlu berperang dengan tubuh sendiri, tetapi juga dengan persepsi dan tekanan sosial yang tidak memahami perjuangan mereka. Inilah realiti sebenar obesiti, ia bukan sekadar nombor pada penimbang atau saiz pakaian. Ia adalah perjuangan harian yang menyentuh fizikal, emosi, dan harga diri seseorang. Dan kerana itu, kita perlu berhenti melihat obesiti dengan mata yang menghakimi. Sebaliknya, kita perlu melihatnya dengan mata yang lebih empati, memahami bahawa setiap orang sedang melalui perjalanan hidup yang berbeza. Mereka bukan malas. Mereka bukan lemah. Mereka sedang mencuba dan itu sendiri sudah cukup berani.
Berita baiknya, obesiti boleh dicegah dan dirawat. Ia bermula dengan kesedaran dan perubahan kecil dalam kehidupan seharian. Untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan obesiti, kita boleh mulakan dengan langkah-langkah kecil yang praktikal. Antaranya ialah memilih makanan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan bijirin penuh berbanding makanan yang telah diproses atau dibungkus.
Makanan segar bukan sahaja lebih berkhasiat, malah kurang kandungan garam, gula dan bahan tambahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Selain itu, luangkan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk bergerak walaupun hanya sekadar berjalan santai di kawasan rumah atau taman. Aktiviti fizikal yang konsisten sangat membantu dalam mengawal berat badan dan meningkatkan kecergasan badan.
Dalam masa yang sama, kita perlu memberi perhatian kepada saiz hidangan, bukan hanya jenis makanan yang diambil. Makan secara berlebihan walaupun makanan itu sihat tetap boleh menyebabkan pertambahan berat badan. Akhir sekali, jangan abaikan kepentingan tidur yang mencukupi. Kurang tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon dalam badan, termasuk hormon yang mengawal rasa lapar, yang akhirnya boleh menyebabkan kita makan lebih daripada keperluan sebenar. Dan yang paling penting, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain.
Setiap perjalanan kesihatan adalah berbeza. Apa yang penting ialah konsisten dan sabar. Kita perlu ubah cara kita melihat berat badan. Kurus bukan jaminan sihat, dan gemuk bukan bukti malas. Apa yang lebih penting ialah kesihatan dalaman, kekuatan mental dan kesejahteraan hidup. Jika anda sedang berjuang melawan obesiti, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Dan jika anda sihat, gunakan kesedaran ini untuk menyokong bukan menghakimi. Kita semua ada peranan sebagai individu, sebagai keluarga, dan sebagai komuniti kerana kesihatan bukan hanya milik peribadi, ia milik kita bersama.
Nur Anirah Binti Ros Jalita @ Rozli
Pelajar Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia
















