KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa agar menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil berhubung kematian tragis seorang pelajar kolej swasta yang didakwa terjatuh dari tingkat enam bangunan hostel di Pangsapuri Mawar, Bandar Baru Sentul di sini pada 2 Julai lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Sri Sanjeevan mendakwa, pihaknya telah mendapat beberapa maklumat awal menimbulkan keraguan serta kemungkinan berlakunya unsur jenayah atau foul play dalam kejadian tersebut.
Kata Sanjeevan, mangsa, Tavanes Vary berusia 21 tahun itu didakwa mengalami kesan lebam pada bahagian bibir, selain mesej terakhir yang mencurigakan telah dimuat naik oleh mangsa sendiri sebelum insiden berlaku.
“Ini bukan kejadian biasa yang boleh kita biarkan berlalu tanpa siasatan menyeluruh. Kematian seorang anak muda yang masih menuntut ilmu dan memiliki masa depan yang cerah harus diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.
“Hari ini saya menziarahi keluarga mendiang Tavanes. Air mata ibu, kesayuan ayah menjadi saksi duka yang tak mampu diluah dengan kata-kata. Bayangkan dalam sekelip mata sahaja dan wujud dakwaan tertentu.
“Keadilan bukan hanya untuk yang hidup, tetapi juga buat yang telah pergi. Andai ada sesuatu tidak kena, perlu adanya pembelaan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.
Tegas beliau, kes ini tidak seharusnya disenyapkan atau disapu ke bawah karpet dengan klasifikasi ‘Sudden Death Report’ (SDR).
“Kita tidak mahu kematian ini disenyapkan, jangan terus klasifikasi ‘SDR’. Jika ada tangan yang bersalah, biar ia terdedah. Jika ada kezaliman, biar ia dihukum. Harap pihak berwajib dapat siasat apa sebenarnya yang berlaku pada malam sebelum kejadian itu,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















